SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menawarkan insentif sehingga RM15,000 kepada atlet yang memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-22 sekiranya kontinjen negeri itu berjaya muncul juara keseluruhan temasya berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ganjaran khas itu merupakan tambahan kepada insentif asal RM10,000 bagi pemenang acara individu hingga berkumpulan tiga atlet sebagai dorongan untuk merealisasikan sasaran Selangor merangkul kejuaraan Sukma buat kali ke-10.
Menurut beliau, kontinjen Selangor yang dibarisi seramai 1,029 anggota termasuk 854 atlet turut meletakkan sasaran membawa pulang 80 pingat emas sepanjang temasya dwitahunan itu.
“Pemenang emas bagi acara individu hingga kumpulan bertiga akan menerima RM10,000, namun jumlah itu meningkat kepada RM15,000 jika Selangor muncul juara keseluruhan Sukma.
“Bagi acara melibatkan empat hingga 10 atlet, insentif ditawarkan ialah RM7,000 atau RM10,000 sekiranya kontinjen Selangor menjuarai keseluruhan. Manakala acara berkumpulan melebihi 10 atlet pula akan menerima RM5,000 atau RM7,000 jika sasaran itu dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bendera kontinjen Selangor ke Sukma dan Para Sukma di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, hari ini.
Amirudin turut memaklumkan bahawa skim insentif yang sama akan diberikan kepada atlet Para Sukma Selangor sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian mereka di pentas kebangsaan.
Sukma edisi ke-22 yang berlangsung di Selangor akan mempertandingkan 37 jenis sukan di venue yang melibatkan kesemua sembilan daerah di negeri itu, selain turut disertai kontinjen jemputan dari Brunei. Dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, Selangor optimis mampu memanfaatkan sokongan penyokong untuk kembali dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
