KUALA LUMPUR – Masalah di luar padang terus menghantui Kuala Lumpur City (KL City) apabila dibelasah 0-6 oleh Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam ini.

KL City terpaksa menurunkan barisan serba kekurangan apabila hanya mampu menyenaraikan 11 pemain meskipun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan kelulusan khas untuk mendaftarkan minimum 12 pemain.

Pengendali KL City, Datuk Dollah Salleh, bagaimanapun hanya menurunkan 10 pemain dalam kesebelasan utama dan menyimpan seorang pemain di bangku simpanan.

Kuching City mengambil kesempatan daripada situasi itu apabila Ajdin Mujagic membuka tirai jaringan seawal minit ketiga.

Jerome Etame hampir menggandakan kelebihan tiga minit kemudian, namun jaringannya dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun, Etame tidak menunggu lama untuk mencipta jaringan apabila menyudahkan hantaran ketua pasukan, James Okwuosa, pada minit ke-25.

Situasi berubah pada penghujung babak pertama apabila Kuching City turut kehilangan seorang pemain selepas Okwuosa dilayangkan kad merah kerana mengasari S. Sharvin.

Beraksi 10 pemain, Kuching City bagaimanapun terus mendominasi permainan dan Etame meledak dua gol pantas pada minit ke-48 dan 52 untuk melengkapkan hatrik.

Mujagic kemudian menambah gol keempat Kuching City pada minit ke-58 sebelum Etame melengkapkan malam gemilangnya dengan gol keempat peribadi pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 6-0 buat The Cats.

Kemenangan itu jelas menggambarkan kelebihan Kuching City yang lebih tersusun berbanding KL City, yang terpaksa berdepan kekangan serius akibat sekatan pendaftaran pemain baharu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sebelum ini, aksi pertama KL City menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu dibatalkan pada saat akhir selepas pasukan itu gagal menurunkan skuad.

MFL kemudiannya memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Negeri Sembilan selain mengenakan denda RM50,000 terhadap KL City serta mengarahkan kelab itu membayar ganti rugi dan kos berkaitan yang diputuskan badan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *