RTM RAIH PUJIAN, SEPANYOL JUARA DUNIA

PETALING JAYA – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima pujian meluas daripada rakyat selepas berjaya menyiarkan kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 secara langsung sehingga menyaksikan Sepanyol muncul juara dunia.

Tinjauan di platform Threads mendapati ramai penonton berpuas hati dengan liputan menyeluruh RTM yang membolehkan peminat bola sepak mengikuti aksi sepanjang kejohanan secara percuma tanpa sebarang langganan berbayar.

Menerusi akaun rasmi @rtm_malaysia, RTM menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang setia mengikuti siaran mereka dari perlawanan pembukaan sehingga Sepanyol menjulang trofi Piala Dunia.

“Terima kasih kerana bersama RTM sepanjang Piala Dunia FIFA 2026. Jumpa lagi untuk liputan temasya Sukan Komanwel nanti,” menurut hantaran tersebut.

Ruangan komen pula dipenuhi ucapan terima kasih daripada penonton yang menyifatkan RTM berjaya menghidangkan liputan berkualiti dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Seorang pengguna, Sherlocksyafiq, menyifatkan usaha RTM menyiarkan keseluruhan kejohanan secara percuma sebagai satu penghargaan besar kepada rakyat Malaysia, manakala peminat Jerman, Iqmaldhanial, berkata liputan penuh 104 perlawanan membolehkannya mengikuti perjalanan pasukan kegemarannya sehingga tamat kejohanan.

Dalam masa sama, aplikasi RTM Klik turut menerima maklum balas positif apabila ramai pengguna memuji kemudahan menonton siaran secara langsung di telefon pintar dan peranti lain tanpa dikenakan bayaran.

Kejayaan RTM menyiarkan keseluruhan kempen Piala Dunia 2026, yang berakhir dengan Sepanyol dinobatkan sebagai juara dunia, dilihat mengukuhkan lagi peranan penyiar awam dalam menyediakan akses sukan bertaraf antarabangsa kepada seluruh rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *