Di tengah-tengah pelbagai tafsiran mengenai hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Anwar Ibrahim tampil dengan satu hantaran ringkas tetapi sarat mesej mengenai persahabatan dan kemuafakatan.
Menerusi media sosialnya petang ini, Perdana Menteri berkongsi serangkap pantun yang menegaskan bahawa perbezaan langkah tidak seharusnya menyebabkan hubungan sesama rakan terputus.
Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan;
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.
Lebih menarik perhatian, pantun Pengerusi PH itu disertakan dengan lapan keping gambar yang memaparkan PMX bersama Timbalan Perdana Menteri I, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Gambar-gambar yang turut bersama anggota jemaah menteri lain itu dirakamkan selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.
Menerusi gambar berkenaan, Pengerusi PH dan Pengerusi BN itu dilihat berbual serta bergelak ketawa.
Perkongsian serangkap pantun dan sejumlah gambar berkenaan dilatari dengan lagu ‘Madu dan Racun’ dendangan penyanyi Indonesia yang popular pada era 1980-an.
Hantaran itu muncul ketika kesetiaan BN yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH di peringkat Persekutuan mencetuskan tanda tanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pada 1 Ogos ini, kesemua 36 calon PH Negeri Sembilan berdepan dengan kesepakatan ‘senyap’ BN dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam PRN ke-16 kali ini, BN bertanding hanya di 25 dari 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PN meletakkan calon di baki 11 kerusi.
Keputusan PRN ke-15 pada 2023 menyaksikan PH membentuk kerajaan negeri bersama BN selepas memperoleh kemenangan di 31 kerusi DUN.
Untuk rekod, PH memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi, manakala PN memperoleh lima kerusi.
Sebelum ini, PMX memberi amaran kepada Menteri, Timbalan Menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan.
Supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh kempen PRN Negeri Sembilan.
Dalam masa sama, kepimpinan tertinggi PH dan BN berulang kali menegaskan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya kekal utuh dan kerjasama pentadbiran akan diteruskan.
Malah, Zahid turut menegaskan UMNO akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO lalu.
Dalam pada itu, Naib Presiden AMANAH, Dato’ Mahfuz Omar mempersoalkan kenyataan Dato’ Seri Mohamad Hasan yang menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan jika diarahkan Perdana Menteri.
Menurut Mahfuz lagi, isu sebenar bukan tentang arahan PMX, tetapi mengapa perlu menunggu arahan jika prinsip kerjasama sudah tidak lagi dihormati.
Beliau menegaskan bahawa tindakan BN bekerjasama dengan pihak yang menentang Kerajaan Perpaduan dalamPilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bercanggah dengan semangat kerjasama di peringkat Persekutuan.
“Tindakan itu sudah tentu mengundang persoalan mengenai komitmen sebenar terhadap semangat kerjasama di peringkat Persekutuan.
“Dalam budaya kita, kalau sudah memilih rumah sebelah, jangan lagi mahu memegang kunci rumah yang ditinggalkan.
“Begitu juga dalam politik. Tidak wajar pada siang hari menikmati tanggungjawab dan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tetapi pada malam hari bekerjasama dengan pihak yang berkempen untuk melemahkan kerajaan yang sama,” katanya dipetik Harapan Daily.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengingatkan BN supaya tidak menjadikan Perdana Menteri sebagai ‘penyapu’ untuk membersihkan kekotoran politik UMNO-BN yang dibuat sendiri.
Ini bukan soal marah atau dendam, tetapi soal integriti politik di mana jikalau benar mereka yakin tindakan mereka betul, maka perlu dibuktikan dengan keberanian membuat keputusan sendiri.
Jangan meletakkan seluruh beban moral di bahu Perdana Menteri semata seolah melepaskan tanggungjawab kalian sendiri.
Seorang pemimpin dinilai bukan apabila diarahkan berundur, tetapi apabila beliau tahu bila masanya untuk berundur demi mempertahankan prinsip.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=yyb2Q88t678&ra=m
