KUALA LUMPUR – Walaupun gagal melayakkan diri ke pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan, Selangor FC tetap menunjukkan perkembangan positif di bawah kendalian Kim Pan-gon apabila berjaya membentuk identiti dan corak permainan baharu yang semakin mendapat perhatian penyokong.
Pengendali dari Korea Selatan itu tampil memohon maaf secara terbuka kepada penyokong Merah Kuning selepas skuad Gergasi Merah hanya menamatkan saingan Liga Super musim 2025/2026 di tangga ketiga dengan 52 mata hasil 16 kemenangan, empat seri dan empat kekalahan daripada 24 perlawanan.
Walaupun mencatat kemenangan bergaya 6-0 ke atas PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), keputusan tersebut masih belum mencukupi untuk memintas Kuching City FC yang mengesahkan slot ke ACL2 selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC.
Menurut Pan-gon, beliau melihat banyak perkembangan positif dalam pasukan sejak mengambil alih jawatan jurulatih pada Januari lalu terutama dari segi mentaliti, karakter dan falsafah permainan menyerang yang cuba diterapkan.
“Sejak saya datang ke sini, kami cuba membina cara permainan, karakter dan DNA Selangor. Saya lihat pemain menunjukkan kesungguhan luar biasa serta semakin memahami identiti yang mahu diterapkan dalam pasukan,” katanya.
Beliau turut memuji aksi bertenaga dipamerkan pemain ketika membelasah PDRM FC termasuk persembahan cemerlang Mukhairi Ajmal yang meledak hatrik serta Alvin Fortesyang menjaringkan dua gol dalam tempoh singkat.
Tambah Pan-gon, kemenangan besar itu bukan sekadar keputusan di atas padang tetapi bukti jelas pemain Selangor kini memiliki semangat juang tinggi dan semakin yakin dengan pendekatan taktikal baharu pasukan.
Dalam masa sama, kapten Selangor, Faisal Halim mendedahkan ketegasan dan disiplin Pan-gon menjadi antara faktor utama kebangkitan pasukan musim ini.
Menurut Faisal, jurulatih berusia 57 tahun itu sentiasa menanam mentaliti supaya pemain tidak mudah menyerah kalah walaupun berdepan situasi sukar sepanjang 90 minit permainan.
“Beliau sentiasa tekankan semangat berpasukan dan tidak pernah membezakan pemain utama atau simpanan. Semua pemain diberi layanan sama rata dan perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat,” katanya.
Kehadiran Pan-gon nyata memberi impak besar apabila Selangor hanya tewas sekali dalam 21 perlawanan sejak beliau mengambil alih pasukan selain berjaya membawa skuad Gergasi Merah mara ke final Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/26.
Selangor juga muncul satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam kejohanan tersebut dan kini menghidupkan harapan untuk menjulang trofi antarabangsa apabila bakal menentang Buriram United dalam aksi final timbal balik yang dijadual berlangsung minggu ini.
Pan-gon turut menyeru penyokong supaya terus memberikan sokongan penuh kepada pasukan kerana percaya Selangor kini sedang bergerak ke arah yang tepat untuk kembali menjadi antara kuasa besar bola sepak Asia Tenggara.
