PETALING JAYA – Keprihatinan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, terhadap kesukaran yang dihadapi seorang calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) 2026 mendapat pujian apabila beliau tampil menawarkan bantuan bagi memastikan pelajar berkenaan dapat meneruskan pengajian.

Perkara itu bermula selepas seorang calon PISMP memuat naik luahan di platform Threads mengenai kesukaran untuk mendaftar di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran, Sabah berikutan harga tiket penerbangan yang tinggi, sedangkan keluarganya terdiri daripada golongan B40.

Pelajar yang dijadualkan mendaftar pada 10 Ogos ini berkata, dia berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Matematik Pendidikan Rendah, namun buntu mencari sumber kewangan dalam tempoh singkat bagi menampung kos perjalanan ke Sabah.

Hantaran tersebut mendapat perhatian Fadhlina yang segera meminta pelajar berkenaan meninggalkan nombor telefon supaya pegawainya dapat menghubungi dan membantu menyelesaikan isu berkenaan.

“Assalamualaikum. Adik tinggalkan nombor telefon. Saya minta pegawai saya hubungi. Jangan risau, kita bantu,” katanya menerusi balasan di Threads.

Tindakan pantas itu mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan untuk memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada pelajar yang layak memperoleh peluang mengikuti latihan perguruan, selaras usaha memperluas akses pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.

Selain bantuan segera kepada pelajar berkenaan, tindakan itu turut mencetuskan reaksi positif dalam kalangan warga maya yang menyifatkan pendekatan responsif kementerian mampu memberi keyakinan kepada bakal guru bahawa kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian sejak sebelum memulakan pengajian.

Program PISMP merupakan antara laluan utama melahirkan guru berkualiti untuk sekolah rendah di negara ini. Justeru, sokongan kepada calon yang berdepan kekangan kewangan dilihat penting bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan dan sistem pendidikan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *