KUALA TERENGGANU – Penganjuran RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak menyaksikan peningkatan kes kemalangan maut apabila lima individu terkorban sepanjang program berlangsung, berbanding dua kematian yang direkodkan pada edisi tahun lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, sebanyak 29 kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negeri sepanjang tempoh penganjuran, meningkat berbanding 11 kes pada 2025.
Menurut beliau, lima mangsa yang maut terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 48 tahun. Dua kemalangan membabitkan motosikal Yamaha RXZ berlaku di Kuala Terengganu dan Kemaman, manakala tiga lagi melibatkan motosikal Yamaha 125, Yamaha Y15 dan Honda Vario di Kemaman serta Dungun.
Beliau berkata, polis turut memperhebat penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya, khususnya dalam kalangan penunggang motosikal yang menghadiri program berkenaan.
Sepanjang operasi, sebanyak 1,850 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala 222 motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan ekzos tidak mengikut spesifikasi, nombor pendaftaran tidak sah serta pelbagai kesalahan lain.
Selain itu, enam individu iaitu empat lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Singapura berusia 22 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan menunggang secara melulu dan berbahaya. Kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Mohd. Khairi berkata, aspek keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang penganjuran yang menghimpunkan kira-kira 160,000 pengunjung berada pada tahap terkawal.
Katanya, hanya satu kes jenayah direkodkan iaitu kehilangan sebuah motosikal Yamaha 125Z di luar Litar Permotoran Gong Badak, berbanding enam kes pada penganjuran tahun lalu. Polis turut menerima satu laporan penipuan tawaran inap desa tidak wujud di Wakaf Tengah, Kuala Nerus yang mengakibatkan mangsa kerugian RM1,200.
Bagi penguatkuasaan narkotik, sebanyak 15 pemeriksaan dijalankan di inap desa dan sekitar lokasi program di Kuala Terengganu, yang membawa kepada lima kes serta tiga tangkapan melibatkan kesalahan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
