ISKANDAR PUTERI- Keselamatan murid di kawasan sekolah perlu diberi perhatian serius termasuk cadangan mewajibkan pengawal atau warden trafik di semua sekolah rendah bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Langkah itu dilihat penting terutama bagi membantu murid berusia bawah 12 tahun melintas jalan dengan selamat selain memastikan aliran trafik di hadapan sekolah lebih teratur ketika waktu puncak.
Cadangan berkenaan kembali menjadi perhatian susulan tragedi kemalangan maut membabitkan seorang murid yang dilanggar di hadapan Sekolah Kebangsaan Sri Maimon.
Susulan kejadian itu, kerajaan negeri Johor akan memperkukuh pengurusan keluar masuk dan aliran trafik di kawasan sekolah bagi memastikan tahap keselamatan murid terus dipertingkatkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, aspek keselamatan di kawasan sekolah tidak boleh dipandang ringan khususnya ketika waktu murid datang dan pulang dari sekolah.
Menurut beliau, Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan memastikan garis panduan keselamatan sedia ada diperkemaskan termasuk memperketat kawalan pintu masuk dan keluar sekolah.
Selain itu, pelaksanaan laluan sehala dan penambahbaikan zon khas menurunkan serta mengambil murid turut akan diperluaskan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Kerajaan negeri juga menekankan keperluan pengasingan laluan pejalan kaki dan kenderaan selain memastikan kemudahan keselamatan seperti lintasan belang, papan tanda amaran dan had laju dipatuhi sepenuhnya.
Pemantauan di kawasan sekolah akan dipertingkatkan menerusi kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan serta pihak berkuasa tempatan bagi menjamin keselamatan murid.
Dalam masa sama, ibu bapa dan pengguna jalan raya turut diingatkan supaya lebih berdisiplin dan sentiasa mematuhi peraturan ketika berada di kawasan sekolah bagi mengelakkan tragedi sama berulang.
