KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,289 kes buli direkodkan di sekolah termasuk asrama bagi tempoh Mac hingga Ogos lalu, dengan buli fizikal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,480 kes.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 1,386 kes membabitkan buli lisan, diikuti 243 kes buli bukan lisan dan 180 kes buli siber.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius setiap kejadian buli dan terus memperkukuh langkah pencegahan serta intervensi bagi memastikan keselamatan murid di sekolah dan asrama sentiasa terpelihara.

Menurutnya, pendekatan menyeluruh dilaksanakan merangkumi penguatkuasaan peraturan, pemantauan persekitaran sekolah dan asrama, perlindungan mangsa, intervensi psikososial serta pembentukan karakter murid.

“Usaha menangani buli perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tindakan disiplin semata-mata.

“Setiap aduan perlu diberikan perhatian sewajarnya, disiasat mengikut tatacara ditetapkan serta diikuti tindakan dan intervensi yang bersesuaian,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai jumlah kes buli di sekolah dan asrama sejak Akta Antibuli 2026 berkuat kuasa serta penambahbaikan pemantauan asrama susulan pendedahan dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Bagi memperkukuh keselamatan asrama, Fadhlina berkata, KPM memasang kamera litar tertutup (CCTV) di 200 sekolah berasrama tahun lalu dengan peruntukan RM3 juta.

Inisiatif itu diteruskan tahun ini menerusi pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama dengan peruntukan RM5 juta, manakala RM15 juta diperuntukkan bagi Fasa Tiga pada 2027 untuk memperluas pemasangan kemudahan itu kepada 1,000 sekolah di seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pemantauan keselamatan tidak boleh bergantung pada kemudahan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu disokong pengawasan warga sekolah, kepekaan terhadap perubahan tingkah laku murid dan tindakan segera terhadap setiap aduan.

Justeru, kerjasama semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru, warden dan ibu bapa penting bagi membendung budaya buli serta memastikan mangsa mendapat perlindungan sewajarnya.

Langkah pencegahan yang konsisten, disertai pemantauan berkesan dan tindakan tegas terhadap pelaku, diharap dapat mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih selamat, sekali gus menjamin kesejahteraan fizikal dan emosi murid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *