Pakatan Harapan (PH) perlu berani mengakui bahawa sokongan majoriti pengundi Melayu masih belum memihak kepada gabungan itu, sebaliknya kembali menumpukan kekuatan sebenar mereka dalam mengurus ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Pemerhati politik, Ahmad Firdaus Mohd berkata, PH tidak harus menghabiskan terlalu banyak tenaga bersaing dalam gelanggang politik identiti dan sentimen perkauman yang selama ini lebih memihak kepada lawan.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kekuatan utama PH terletak pada keupayaan menawarkan penyelesaian ekonomi yang lebih meyakinkan, berasaskan angka, data dan dasar jangka panjang.
“PH perlu akui hakikat orang Melayu tak sokong kita kecuali PH 1.0 Tun, majoriti pengundi Melayu tidak pernah undi PH.
“Jadi, jangan habiskan tenaga berebut di gelanggang kita memang kalah. Kembali kepada kekuatan kita — ekonomi, ekonomi, ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Firdaus, Malaysia masih bergelut untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana sejak krisis kewangan Asia pada 1997.
Walhal, ujarnya, beberapa negara yang pernah berada pada kedudukan setara seperti Korea Selatan dan Taiwan sudah jauh meninggalkan negara ini.
Beliau turut berkata, antara masalah utama yang membelenggu Malaysia ialah kedudukan kewangan kerajaan yang berdepan defisit berpanjangan, apabila perbelanjaan saban tahun melebihi pendapatan negara.
Sebahagian besar peruntukan kerajaan pula katanya digunakan untuk emolumen, pencen dan subsidi, sekali gus mengehadkan ruang fiskal bagi pembangunan serta pelaburan baharu.
Tambahan lagi, Ahmad Firdaus juga berkata, setiap Perdana Menteri telah cuba menangani masalah tersebut melalui pendekatan masing-masing.
Malah menurutnya, bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak memilih untuk meningkatkan kutipan cukai termasuk memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan(GST), manakala Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan berbeza menerusi kerangka Ekonomi MADANI.
“Ramai tak faham. Tetapi angka dan data semakin membuktikan ia berhasil,” ujarnya lagi dipetik Harapan Daily.
Selain itu, beliau menjelaskan, Ekonomi MADANI membawa dua matlamat utama, iaitu memperbesar “kekekonomi” negara serta meningkatkan “lantai” pendapatan rakyat.
Bagi matlamat pertama, jelasnya, kerajaan memberi tumpuan kepada kemasukan pelaburan langsung asing, pembangunan industri bernilai tinggi dan pengukuhan sektor strategik seperti industri semikonduktor.
Pada masa sama, matlamat kedua menekankan peningkatan gaji rakyat supaya pertumbuhan ekonomi tidak hanya memberi keuntungan kepada syarikat atau pemilik modal, tetapi turut dirasai oleh pekerja.
Tambahnya lagi, pendekatan memperbesar kapasiti ekonomi negara dan pada masa sama meningkatkan pendapatan rakyat turut selari dengan kerangka “Raising the Ceiling, Raising the Floor” yang diketengahkan Bank Dunia.
Beliau turut merujuk beberapa perkembangan positif termasuk peningkatan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), semakan menaik unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar oleh institusi kewangan antarabangsa serta pandangan pakar bahawa prestasi ekonomi negara melebihi jangkaan.
Perkembangan tersebut menunjukkan dasar Ekonomi MADANI mula memberikan hasil walaupun pentadbiran PMX masih belum melengkapkan satu penggal penuh.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa masih ramai rakyat belum benar-benar merasai kesan pemulihan ekonomi tersebut, terutama ketika ekonomi dunia terus berdepan tekanan akibat konflik geopolitik dan ketidaktentuan global.
Namun, kata Ahmad Firdaus lagi, keadaan itu tidak seharusnya menyebabkan PH meninggalkan naratif ekonomi yang merupakan kekuatan utama gabungan berkenaan.
Sebaliknya, pemimpin dan jentera PH perlu terus menerangkan kepada rakyat bahawa reformasi ekonomi memerlukan masa, keberanian politik dan dasar yang mampu memperkukuh kewangan negara tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.
“Inilah kekuatan Pakatan Harapan. Ulang sampai penat — nak ekonomi Malaysia maju, pilih Harapan,” tegasnya.
Dalam pada itu, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sahaja menuntut PH melakukan muhasabah besar-besaran, malah menjadi amaran berbahaya terhadap masa depan negara jika politik perkauman terus dibiarkan mengatasi prestasi dan tatakelola kerajaan.
Pemerhati politik, Norman Radzuan berkata, kekalahan PH tidak boleh dijelaskan dengan hanya menuding jari kepada kempen berasaskan kaum yang dimainkan lawan, sebaliknya gabungan itu juga perlu berani mengakui kelemahan sendiri.
Keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti PH dengan 11 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi.
Keputusan itu turut membuka laluan kepada kerjasama BN-PN untuk membentuk kerajaan negeri baharu selepas PH gagal mempertahankan pentadbiran yang diterajuinya sejak 2018.
Pada 2023, PH memenangi 17 kerusi, BN 14 dan PN lima, dengan PH-BN menguasai keseluruhan 31 kerusi sebelum hubungan kedua-dua gabungan itu mengalami keretakan menjelang pilihan raya kali ini.
Dalam masa sama, Norman berpendapat punca kekalahan PH perlu dilihat menerusi formula “50-50”, iaitu separuh berpunca daripada serangan perkauman pihak lawan, manakala separuh lagi disebabkan kelemahan dalaman PH sendiri.
“Keputusan di Negeri Sembilan bahaya untuk masa depan negara. Kita perlu muhasabah walaupun kita dikalahkan dengan serangan perkauman.
“Lima puluh peratus kerana lawan memainkan isu perkauman yang mampu merosakkan negara dan 50 peratus lagi kerana kegagalan kita sendiri,” katanya pula.
Menurut Norman lagi, penyokong PH sememangnya berhak kecewa apabila isu rasuah dan penyelewengan bernilai berbilion ringgit seolah-olah tidak lagi menjadi pertimbangan sebahagian pengundi Melayu apabila berhadapan sentimen menolak DAP.
Namun, kekecewaan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk PH mengelak daripada menilai mengapa parti tersebut semakin ditolak pengundi.
Maka, fikir-fikirkanlah.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=onbejTWozYU&ra=m
