GOMBAK – Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka mampu membawa sehingga kira-kira 10,000 penumpang sehari pada peringkat awal operasi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kapasiti itu berdasarkan 10 set tren ECRL yang setiap satunya mampu membawa sehingga 425 penumpang, selain mengambil kira jumlah perjalanan yang boleh dibuat dalam sehari.
“Kalau satu set tren membuat dua atau tiga perjalanan sehari, kapasiti keseluruhannya boleh mencapai kira-kira 10,000 penumpang sehari,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Tren Pemeriksaan Komprehensif (CIT), Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta Permulaan Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan Ujian Keselamatan Operasi Bebas Kerosakan (FFR) Projek ECRL di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, hari ini.
Beliau berkata, lima set tren ECRL kini sudah tiba di Malaysia, manakala baki lima set lagi dijangka tiba dalam beberapa bulan akan datang.
Menurutnya, semua tren berkenaan telah menjalani pelbagai ujian di China sebelum dihantar ke Malaysia bagi memastikan aspek keselamatan dan keupayaan operasi berada pada tahap ditetapkan.
Dalam pada itu, Anthony berkata harga tiket ECRL masih belum ditetapkan dan sebarang pengumuman mengenainya akan dibuat sebelum perkhidmatan tersebut mula beroperasi.
“Tak ada anggaran harga lagi. Tunggulah pengumuman,” katanya ketika ditanya mengenai kadar tambang ECRL.
Beliau berkata, persediaan tenaga kerja turut berada pada fasa akhir selepas latihan dilaksanakan sejak kira-kira dua tahun lalu, termasuk di China.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu menghubungkan Kota Bharu, Kelantan dengan Gombak, Selangor bagi jajaran Fasa 1, melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Projek berkenaan sebelum ini disasarkan mula beroperasi pada Januari 2027, namun kerajaan sedang mengusahakan kemungkinan pembukaan lebih awal, khususnya bersempena cuti persekolahan dan musim hujung tahun.
