PETALING JAYA – Selangor FC mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala FA selepas menyingkirkan finalis musim lalu, Sabah FC dengan agregat 4-3.

Selepas terikat 2-2 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik, The Red Giants mencatat kemenangan 2-1 dalam perlawanan kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Bagaimanapun, kemenangan itu diraikan dalam suasana suram apabila aksi berlangsung tanpa kehadiran penyokong susulan hukuman yang dikenakan.

Pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon mempertaruhkan trio serangan terdiri daripada Kay Tejan, Chrigor Moraes dan kapten pasukan, Faisal Halim bagi memburu kemenangan.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi Eduardo Sosa yang tenang menyudahkan peluang untuk Selangor mendahului 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Sabah kemudian bangkit menyamakan kedudukan empat minit selepas rehat apabila kesilapan Harith Haiqal Adam Afkar mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dimanfaatkan Park Jun Bin untuk menjaringkan gol penyamaan.

Selangor kembali di hadapan pada minit ke-56 menerusi Chrigor Moraes. Sepakan penalti penyerang itu berjaya ditepis penjaga gol Sabah, namun Moraes pantas menyambar bola muntah untuk menghasilkan jaringan kedua tuan rumah.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat permainan, sekali gus memastikan Selangor FC mara ke suku akhir dengan agregat 4-3, manakala Sabah terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala FA musim ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *