KOD BAHARU ONSA PERKUKUH KESELAMATAN KANAK-KANAK DALAM TALIAN

CYBERJAYA – Bermula 1 Jun 2026, dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) akan dikuatkuasakan bagi memperkukuh perlindungan pengguna digital, khususnya kanak-kanak, daripada ancaman kandungan memudaratkan di internet.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) diperkenalkan sebagai langkah mempertingkat akauntabiliti platform media sosial serta memastikan pengalaman dalam talian lebih selamat dan sesuai mengikut umur.

Antara fokus utama CPC ialah pelaksanaan pengesahan umur bagi menghalang pengguna bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial, selain mewajibkan platform menyediakan tetapan privasi lebih selamat, kawalan ibu bapa, serta sekatan komunikasi berisiko antara orang dewasa dan kanak-kanak.

Langkah itu juga bertujuan mengurangkan pendedahan pengguna muda kepada kandungan lucah, buli siber, eksploitasi seksual, penipuan kewangan, kandungan ganas serta sistem algoritma yang boleh mempromosikan kandungan tidak sesuai secara berulang.

MCMC menegaskan pelaksanaan kod berkenaan bukan bertujuan melarang kanak-kanak menggunakan internet, sebaliknya memastikan akses digital yang lebih terkawal, selamat dan bersesuaian dengan tahap perkembangan mereka.

“Kanak-kanak masih boleh menggunakan internet untuk pembelajaran, komunikasi dan mendapatkan maklumat bermanfaat dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga,” menurut kenyataan itu.

Melalui RMC pula, platform digital diwajibkan menjalankan penilaian risiko terhadap kandungan memudaratkan, memperkukuh sistem moderasi, menyediakan mekanisme aduan yang mudah diakses serta mengambil tindakan lebih pantas terhadap kandungan berbahaya.

Selain itu, platform juga perlu memastikan kandungan dimanipulasi seperti deepfake dilabel dengan jelas serta memperkenalkan langkah pengesahan terhadap pengiklan bagi mengurangkan risiko penipuan dalam talian.

Kod berkenaan terpakai kepada penyedia platform media sosial berlesen yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia, termasuk platform seperti Meta Platforms, TikTok dan YouTube.

Kegagalan mematuhi keperluan di bawah ONSA boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan termasuk penalti kewangan sehingga RM10 juta.

MCMC turut menggesa ibu bapa memainkan peranan aktif dalam memantau penggunaan internet anak-anak, termasuk menggunakan kawalan ibu bapa, menyemak tetapan privasi serta mendidik mereka mengenai risiko dan keselamatan dalam talian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *