Kerajaan memperjelas kedudukan pelarian Rohingya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Susulan kekeliruan mengenai sama ada golongan itu dikategorikan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Zakaria Shaaban menegaskan, pemegang kad UNHCR yang sah bukan bermakna mereka bebas daripada undang-undang imigresen.
Menurutnya, pelarian berkenaan tetap tertakluk kepada Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan tindakan sekiranya melakukan kesalahan imigresen lain.
Di mana ia termasuk bekerja tanpa pas atau permit yang sah.
Bagaimanapun, terdapat pengecualian terhadap dua kesalahan tertentu iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta kesalahan tinggal lebih masa.
Terutamanya selagi individu berkenaan memiliki kad UNHCR yang sah.
Penjelasan itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa Jabatan Imigresen mengiktiraf semua warga Rohingya sebagai bukan PATI tanpa sebarang batasan undang-undang.
Pada masa sama, majikan yang menggaji pemegang kad UNHCR tanpa kebenaran sah juga boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
Kerajaan turut menegaskan bahawa pengurusan pelarian dan pemohon suaka dilaksanakan berdasarkan dasar yang ditetapkan kerajaan.
Ia termasuk Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.23 serta keputusan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka.
Di bawah pendekatan itu, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian.
Khususnya bagi mendapatkan data lebih menyeluruh mengenai keberadaan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia.
Dalam isu lebih besar berkaitan warga asing pula, kerajaan turut berdepan tuntutan supaya penguatkuasaan terhadap PATI diperkukuh.
Khususnya membabitkan aktiviti perniagaan tanpa lesen, kesesakan rumah sewa dan pelanggaran undang-undang.
Zakaria pada masa sama juga meminta orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap warga asing yang disyaki melanggar undang-undang.
Sebaliknya, sebarang maklumat perlu disalurkan kepada Jabatan Imigresen supaya tindakan boleh dibuat berdasarkan aduan, risikan dan maklumat awam.
Isu ini turut mencetuskan perdebatan mengenai keperluan membezakan antara pekerja asing berdokumen, PATI dan pelarian supaya tindakan penguatkuasaan tidak tersasar.
Dalam pada itu, dalam konteks politik dan pentadbiran pula, kerajaan kini berdepan cabaran untuk mencari keseimbangan antara ketegasan mengawal kemasukan.
Di samping aktiviti warga asing dengan keperluan industri yang masih bergantung kepada tenaga kerja asing.
Pada masa sama, isu pelarian Rohingya memerlukan pendekatan tersusun supaya aspek keselamatan, penguatkuasaan, kebajikan dan kepentingan rakyat tempatan dapat ditangani secara seimbang.
Justeru, penjelasan terbaharu Jabatan Imigresen itu penting bagi meredakan kekeliruan awam bahawa pemegang kad UNHCR mempunyai kekebalan menyeluruh.
Ini kerana hakikatnya, pengecualian terhadap kesalahan tertentu tidak bermaksud mereka terlepas daripada undang-undang Malaysia.
Pautan Video:
