123 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPERASI IMIGRESEN JOHOR 

JOHOR BAHRU – Seramai 123 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam operasi penguatkuasaan selama 48 jam yang berakhir semalam, membabitkan serbuan di 21 premis sekitar negeri ini.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi pada Selasa dan semalam itu menyasarkan premis berisiko berlaku pelanggaran peraturan imigresen, termasuk restoran dim sum, pusat servis kenderaan, kedai dobi, kedai aksesori kenderaan dan pusat refleksologi.

Katanya, kesemua yang ditahan terdiri daripada 53 lelaki dan 70 wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun, termasuk 74 warga Myanmar, 24 Indonesia, enam Nepal, lima Bangladesh, lima Pakistan, sembilan China dan seorang Vietnam.

“Pemeriksaan mendapati sebahagian daripada mereka dipercayai bekerja sebagai tukang masak, tukang urut dan pelayan, manakala sebahagian lagi adalah pelanggan yang berada di premis ketika serbuan.

“Mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan, pas atau permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi sama, enam rakyat Malaysia yang dipercayai pengurus premis turut ditahan kerana disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Mohd Rusdi berkata, semua warga asing terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi siasatan dan tindakan lanjut, manakala sejumlah saman saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *