PETALING JAYA – Tawaran pekerjaan dengan gaji sehingga RM7,000 tanpa kelayakan khusus kini dipercayai digunakan sebagai umpan sindiket pekerjaan untuk memperdaya rakyat Malaysia bekerja di luar negara sebelum dipaksa menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.
Seorang mangsa, Ahmad, 22, berkata dia tertarik dengan tawaran bekerja di India yang menjanjikan gaji asas RM4,000 bagi dua bulan pertama, selain penginapan dan pembelajaran percuma.
Bagaimanapun, selepas tiba di negara berkenaan, dia mendakwa pekerja diwajibkan mencari jualan sendiri dengan sasaran minimum RM15,000 sebulan. Mereka yang mencapai sasaran akan menerima semula gaji asas selain komisen lima peratus.
Menurut Ahmad, pasportnya turut dipegang pihak terbabit menyebabkan dia sukar untuk meninggalkan tempat berkenaan.
“Saya pada mulanya ingat dapat kerja yang bagus sebab gaji tinggi. Tetapi selepas sampai, keadaan tidak seperti yang dijanjikan dan saya mula fikir bagaimana mahu keluar,” katanya.
Ahmad yang antara tiga rakyat Malaysia berjaya melarikan diri turut mendakwa terdapat rangkaian individu dan syarikat berpangkalan di Malaysia yang mempunyai kaitan dengan operasi berkenaan, termasuk rancangan membuka operasi di beberapa negara lain.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kegiatan sindiket pekerjaan palsu semakin meluas ke negara seperti India selepas sebelum ini banyak tertumpu di Myanmar, Kemboja dan Laos.
Beliau berkata, kes rakyat Malaysia diperdaya, dibawa ke luar negara dan dipaksa melakukan penipuan perlu dilihat sebagai jenayah rentas sempadan serius yang berpotensi mempunyai unsur eksploitasi serta pemerdagangan manusia.
MHO turut menggesa kerajaan memperkukuh kerjasama antara PDRM, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Tinggi Malaysia serta agensi penguat kuasa negara terlibat.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Rusdi Mohd. Isa meminta mangsa atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara tampil membantu siasatan.
Kes ini susulan laporan mengenai lebih 100 rakyat Malaysia dipercayai terkandas di India selepas diperdaya tawaran pekerjaan sebelum didakwa dipaksa menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.
Pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja luar negara yang menjanjikan gaji lumayan, terutama jika melibatkan proses pengambilan pekerja yang meragukan, bayaran tidak munasabah atau penyerahan pasport kepada pihak lain.
