Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenang Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, juruterbang helikopter yang terbunuh dalam nahas pesawat Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak sebagai sahabat yang banyak membantu pergerakannya ketika kempen PRU15.
Dalam perbualan telefon dengan bapa juruterbang itu, Bee Sham Ahmad, Perdana Menteri menyifatkan Zainol Afiq sebagai seorang yang sopan ketika memberikan perkhidmatan.
“Dia seorang yang sopan, salam ketika (saya) naik, salam ketika turun (helikopter). Doa bersama,” katanya dipetik Media Perpaduan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam perbualan itu yang disiarkan dalam laman Facebooknya.
Dalam pada itu, PMX turut berkata, beliau terkesan apabila ditunjukkan gambar Allahyarham ketika menerbangkan pesawat membawa beliau ketika itu.
Bee Sham juga memberitahu Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa keluarganya berhasrat membawa jenazah Allahyarham balik ke Negeri Sembilan, yang mana beliau menyatakan pihaknya akan membantu.
Tambahan lagi, Perdana Menteri juga mengucapkan takziah kepada keluarga juruterbang itu serta semua keluarga yang terbabit.
“Tatkala mengimbau kenangan sewaktu Allahyarham bertanggungjawab menerbangkan saya ketika kempen PRU15 lalu menjadikan saya sangat tersentuh dan mengesankan sanubari yang terdalam.
“Teruji dengan kehilangan amat berat, lebih-lebih lagi buat keluarga dan anak-anak yang jauh masih kecil,” ujarnya lagi.
PMX juga berkata beliau berdoa agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada keluarga juruterbang berkenaan terus melangkah menghadapi hari-hari mendatang.
“Lantaran itu, Kerajaan MADANI akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta keluarga mangsa lain didukung dan diberi pembelaaan sewajarnya.
“Semoga Allah SWT mengasihani mereka, mengampun segala dosa mereka, melimpahkan rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan para syuhada.
“Malaysia meratapi pengorbanan dan limpah bakti mereka kepada negara,” tambahnya.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=BGK7N_XT_Tk&ra=m
