DUA BEREGU MALAYSIA MARA SEPARUH AKHIR KOREA MASTERS

PETALING JAYA – Dua beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Soh Wooi Yik dan Tee Kai Wun-Yap Roy King, meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Badminton Korea Masters di Asan, Korea Selatan, selepas mempamerkan aksi meyakinkan di suku akhir.

Wei Chong-Wooi Yik mudah menewaskan gandingan India, Krishna Prasad Garaga-Pruthvi Krishnamurthy Roy 21-7, 21-8 dalam tempoh hanya 26 minit untuk memburu penampilan sulung di pentas separuh akhir bersama selepas dipecahkan gandingan.

Mereka bagaimanapun bakal berdepan cabaran lebih getir apabila menentang pasangan muda Jepun, Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa, yang pernah menyingkirkan mereka pada pusingan 32 terbaik Terbuka Taiwan minggu lalu.

Sementara itu, Kai Wun-Roy King turut mencipta kejutan apabila menewaskan rakan senegara, Aaron Chia-Aaron Tai 21-12, 21-15 dalam masa 28 minit.

Gandingan kendalian ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi itu akan bertemu pasangan Jepun, Shuji Sawada-Daigo Tanioka di separuh akhir.

Menariknya, Kai Wun-Roy King belum pernah berdepan gandingan Jepun berkenaan dan kemenangan esok mampu membuka peluang tercetusnya pertembungan sesama sendiri antara dua beregu Malaysia di final.

Dalam acara perseorangan lelaki, Cheam June Wei turut mencuri tumpuan apabila menyingkirkan pemain Taiwan, Su Li Yang yang berada di ranking ke-42 dunia, menerusi kemenangan 23-21, 10-21, 21-18 selepas beraksi selama satu jam tujuh minit.

Pemain profesional berusia ranking ke-72 dunia itu seterusnya akan berdepan pemain China, Zhu Xuan Chen, yang menduduki ranking ke-68 dunia.

Bagaimanapun, rekod pertemuan memihak kepada Xuan Chen selepas June Wei tewas dalam dua pertemuan terdahulu, namun prestasi konsisten yang dipamerkannya di Korea Selatan memberikan harapan untuk mencipta kejutan.

Sementara itu, kemaraan Malaysia dalam acara beregu campuran terhenti di suku akhir apabila kesemua tiga wakil negara gagal menempah tiket ke separuh akhir.

Chen Tang Jie-Clarissa San tewas kepada pasangan Jepun, Haruki Kawabe-Kokona Ishikawa 20-22, 17-21, manakala Loo Bing Kun-Noraqilah Maisarah Ramdan turut terkandas selepas kalah kepada pasangan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying 14-21, 15-21.

Jimmy Wong-Cheng Su Yin pula gagal mengekalkan rentak selepas ditundukkan wakil tuan rumah, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong 17-21, 18-21.

Dengan dua wakil beregu lelaki dan seorang perseorangan lelaki masih bersaing, Malaysia kini mempunyai tiga peluang untuk memburu slot ke final Korea Masters.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *