PETALING JAYA – Skuad hoki wanita negara akur dengan kehebatan China apabila tewas 0-4 dalam aksi ketiga Kumpulan A Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
China yang menghuni kelompok elit hoki wanita Asia membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Yu Anhui selepas menyudahkan gerakan kemas untuk memberikan tekanan awal kepada Malaysia.
Malaysia cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun pertahanan China tampil ampuh bagi menyukarkan jentera serangan negara mencipta peluang berbahaya.
China kemudian menggandakan kelebihan menerusi pukulan sudut penalti (PC) Zhong Jiaqi pada minit ke-25 untuk menutup separuh masa pertama dengan kelebihan 2-0.
Bersambung babak kedua, China terus mengawal rentak permainan dan Zhong Jiaqi sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring menerusi PC pada minit ke-44.
Zhang Ying kemudian melengkapkan kemenangan China dengan gol keempat pada minit ke-47, juga menerusi pukulan sudut penalti.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia gagal meneruskan momentum selepas mencatat kemenangan 5-0 ke atas Kazakhstan dan menewaskan Bangladesh 3-1 dalam dua aksi terdahulu.
Meskipun tewas, Malaysia masih mempunyai peluang untuk memperbaiki kedudukan dalam Kumpulan A menerusi baki perlawanan bagi memburu keputusan positif pada temasya berkenaan.
