HAWAII – Sekumpulan saintis berjaya merakam permukaan Matahari pada resolusi tertinggi pernah dicapai, sekali gus mendedahkan corak pusaran plasma yang sebelum ini tidak dapat dilihat dengan jelas.
Imej dan video berkenaan dirakam menggunakan Teleskop Suria Daniel K. Inouye milik Yayasan Sains Kebangsaan Amerika Syarikat (NSF) di Hawaii, yang merupakan teleskop suria paling berkuasa di dunia.
Pemerhatian itu memperlihatkan struktur halus pada fotosfera, iaitu lapisan luar Matahari yang boleh dilihat, khususnya di kawasan berhampiran tompok Matahari yang dipengaruhi medan magnet.
Apa yang menarik perhatian penyelidik ialah kemunculan corak berpusar dan jalur seperti gelombang yang bergerak merentasi permukaan Matahari. Bentuk berkenaan dikatakan menyerupai sapuan berus berpusar dalam karya terkenal Vincent van Gogh, The Starry Night.
Melalui gabungan pemerhatian beresolusi tinggi dengan simulasi komputer, penyelidik berjaya mengenal pasti bukti pertama yang jelas mengenai ketidakstabilan Kelvin-Helmholtz (KHI) pada permukaan Matahari.
KHI berlaku apabila dua aliran plasma atau bendalir bergerak pada kelajuan berbeza dan menghasilkan pusaran pada sempadan antara kedua-duanya. Fenomena sama boleh berlaku dalam pelbagai persekitaran, termasuk di atmosfera Bumi serta interaksi antara angin suria dengan medan magnet planet.
Penemuan itu penting kerana KHI dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan tenaga dan medan magnet di atmosfera Matahari. Pemahaman lebih terperinci mengenai fenomena berkenaan berpotensi membantu saintis mengkaji bagaimana aktiviti Matahari berkembang menjadi letusan suria dan lontaran jisim korona.
Lontaran jisim korona boleh membawa awan besar zarah bercas ke angkasa dan, jika menghala ke Bumi, berupaya mencetuskan ribut geomagnet yang mengganggu satelit, sistem navigasi GPS, komunikasi radio serta rangkaian elektrik, selain menghasilkan aurora.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature pada 6 Ogos itu turut menunjukkan kemampuan Teleskop Inouye untuk meneliti proses berskala kecil di permukaan Matahari yang sebelum ini terlalu sukar dikesan.
Menurut penyelidik, pemerhatian resolusi ultra tinggi berkenaan membuka ruang kepada kajian baharu mengenai dinamik plasma dan medan magnet Matahari, sekali gus meningkatkan pemahaman manusia terhadap bintang yang menjadi sumber utama tenaga kepada Sistem Suria.
