PONTIAN – Penduduk di beberapa kawasan di daerah ini hidup dalam kebimbangan apabila konvoi treler dipercayai membawa sisa binaan dari Singapura keluar masuk kampung hampir setiap malam sejak dua tahun lalu.

Aktiviti yang didakwa berlaku dari waktu malam hingga awal pagi itu bukan sahaja mengganggu ketenteraman penduduk, malah dikatakan menyebabkan jalan kampung rosak, dipenuhi habuk, lumpur dan bongkah batu yang tercicir daripada kenderaan berat.

Lebih membimbangkan, penduduk mendakwa keadaan berkenaan telah mengundang kemalangan kepada penunggang motosikal, selain menyebabkan kenderaan rosak selepas terlanggar sisa binaan yang jatuh di atas jalan.

Penduduk mendakwa kira-kira 20 treler memasuki kawasan berkenaan hampir setiap malam melalui laluan kampung sebelum menuju ke lokasi yang dipercayai menjadi tapak pelupusan atau penambakan sisa binaan.

Antara kawasan yang dikatakan terjejas termasuk Parit Sikom, Batu 26 Jeram Batu-Pengkalan Raja, Kampung Parit Rambai, Kampung Sungai Dinar, Mukim Sungai Karang, Simpang Kiri, Buluh Kasap, Peradin, Belokok, Sungai Punai dan Sungai Senai.

Seorang penduduk, Ahmad Daud Saeng, 59, berkata, penduduk hairan bagaimana kenderaan berat dalam jumlah yang banyak boleh berulang-alik menggunakan jalan kampung tanpa penyelesaian tuntas terhadap aduan yang telah dibuat.

Katanya, keadaan jalan yang dipenuhi batu, habuk dan lumpur bukan sahaja mencacatkan persekitaran, malah meningkatkan risiko kemalangan terutama pada waktu malam.

Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kawasan 2 Mukim Sungai Karang, Rais Mohd. Amin, 57, berkata, beliau sendiri mengalami kerosakan kenderaan selepas terlanggar bongkah batu yang dipercayai tercicir daripada treler.

“Malam-malam mana nampak batu atas jalan. Penunggang motosikal juga pernah kemalangan selepas melanggar bongkah batu yang jatuh di atas jalan,” katanya.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih buruk ketika hujan apabila jalan kampung bertukar menjadi berlumpur akibat pergerakan kenderaan berat.

Seorang lagi penduduk, Hassan Abd. Karim, 62, mendakwa gegaran akibat treler bermuatan berat turut dirasai penduduk dan dipercayai menyebabkan keretakan pada beberapa rumah.

Katanya, keadaan jalan kampung juga semakin rosak akibat penggunaan berterusan oleh kenderaan berat, manakala pergerakan treler pada waktu malam mengganggu ketenteraman penduduk.

Sementara itu, Shamsul Kahar Mohd. Zapin, 63, berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi menentukan status sebenar aktiviti berkenaan termasuk sumber sisa, kelulusan membawa masuk serta lokasi pelupusannya.

“Kami tidak mahu menuduh sesiapa. Kami cuma mahu kepastian sama ada aktiviti ini mematuhi undang-undang kerana penduduk yang menanggung kesannya setiap hari,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Md. Israk Abdullah berkata, kerajaan negeri sedang meneliti kaedah undang-undang yang boleh diambil terhadap pihak yang membawa masuk dan melupuskan sisa binaan dari Singapura tanpa kelulusan.

Beliau berkata, antara peruntukan yang boleh dipertimbangkan termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) serta undang-undang berkaitan lain.

Katanya, berdasarkan aduan penduduk, terdapat kawasan penambakan dan tapak pelupusan sisa binaan yang dipercayai beroperasi tanpa pemantauan atau kelulusan sewajarnya.

“Jika dakwaan ini benar, tindakan segera perlu diambil. Setiap aduan penduduk perlu disiasat secara menyeluruh,” katanya.

Penduduk kini berharap agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, pihak berkuasa tempatan serta polis mempertingkatkan pemantauan dan mengambil tindakan tegas.

Bagi penduduk, isu berkenaan bukan lagi sekadar masalah gangguan lalu lintas, sebaliknya menyentuh soal keselamatan nyawa, kerosakan harta benda, keadaan jalan dan kualiti hidup yang semakin terjejas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *