KUALA LUMPUR – Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 bakal menjadi medan penting untuk mencungkil bakat baharu sepak takraw dalam kalangan pemain berusia 16 tahun dan ke bawah, selain memberi mereka pendedahan kepada saingan lebih kompetitif.
Penganjuran bersama McDonald’s Malaysia dan Harian Metro itu menawarkan hadiah keseluruhan RM60,000 menerusi saingan tiga zon sebelum pentas akhir kebangsaan di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kuala Lumpur pada November depan.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, liga berkenaan bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform pembangunan generasi muda melalui sukan.
Menurutnya, penglibatan dalam sepak takraw mampu membentuk nilai penting seperti disiplin, kerja berpasukan, keyakinan diri dan daya tahan dalam kalangan pemain muda.
Liga itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan serta Persekutuan Sepaktakraw Malaysia.
Saingan bermula di Zon Selatan/Tengah di Kompleks Sukan Paroi, Negeri Sembilan pada 9 hingga 11 Oktober, diikuti Zon Utara di Sungai Petani pada 16 hingga 17 Oktober dan Zon Timur di Terengganu pada 20 hingga 21 November.
Pentas Akhir Kebangsaan pula dijadual berlangsung pada 28 dan 29 November, manakala klinik sepak takraw akan diadakan pada 26 November.
Penganjur turut merancang memperluaskan sokongan kepada pasukan sepak takraw di sekitar rangkaian restoran McDonald’s seluruh negara, termasuk kemungkinan menyediakan bola serta kemudahan gelanggang bagi menggalakkan pembangunan sukan di peringkat komuniti.
