KUALA LUMPUR – Cabaran dunia pekerjaan hari ini semakin mencabar apabila kos sara hidup meningkat, persaingan mendapatkan pekerjaan semakin sengit dan ketidaktentuan pasaran menyebabkan sebahagian pekerja berdepan risiko kehilangan sumber pendapatan.
Berbanding era 1990-an, kehidupan ketika itu dilihat lebih sederhana dengan kos sara hidup yang lebih rendah.
Walaupun pendapatan tidak sebesar hari ini, ramai masih mampu menyara keluarga dan menghulurkan wang kepada ibu bapa di kampung tanpa perlu menanggung beban hutang yang terlalu banyak.
Namun, ledakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) kini mengubah landskap pekerjaan dengan begitu pantas.
Dalam masa sama, terdapat pekerja yang terpaksa berdepan pemberhentian, termasuk ditawarkan skim pemisahan seperti VSS atau MSS, sekali gus memaksa mereka kembali mencari pekerjaan baharu.
Situasi itu bukan mudah kerana pencari kerja perlu menyediakan resume, menghadiri temu duga dan bersaing dengan ramai calon lain sebelum memperoleh peluang kedua. Bagi mereka yang masih mempunyai pekerjaan, tekanan di tempat kerja mungkin menyebabkan timbul keinginan untuk berhenti, terutama apabila berdepan beban tugas, konflik dan tekanan emosi.
Namun, keputusan berhenti kerja tidak seharusnya dibuat secara terburu-buru hanya kerana terpengaruh dengan perkongsian di media sosial. Bagi kebanyakan rakyat, gaji bulanan masih menjadi sandaran utama untuk membayar pinjaman, bil, keperluan persekolahan anak, membina simpanan kecemasan serta merealisasikan impian keluarga.
Justeru, selagi masih mampu bertahan, setiap pekerja wajar menghargai pekerjaan yang dimiliki sambil terus meningkatkan kemahiran dan prestasi diri. Benarlah, lebih baik letih bekerja daripada letih mencari pekerjaan, kerana kerjaya yang dibina dengan air mata, keringat dan pengorbanan tidak seharusnya dilepaskan tanpa perancangan.
