SHAH ALAM – Rintihan 50 penduduk Taman Sri Muda yang terkesan akibat banjir besar pada Disember 2021 akhirnya mendapat perhatian mahkamah apabila mereka memenangi saman terhadap Kerajaan Persekutuan dan beberapa agensi berkaitan.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shoba Rajah Dorai Rajah, mendapati plaintif berjaya membuktikan dakwaan kecuaian dan kegagalan defendan melaksanakan tanggungjawab sehingga menyumbang kepada kerugian yang dialami penduduk.
Mahkamah turut mendapati wujud kewajipan berjaga-jaga yang boleh dijangka berdasarkan fungsi serta tanggungjawab defendan dalam pengurusan bencana, selain menolak pembelaan bahawa kejadian berkenaan semata-mata berpunca daripada faktor di luar kawalan manusia.
Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) gagal meningkatkan tahap tindak balas bencana, mengekalkan pusat penyelarasan utama serta mengerahkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) secara berkesan ketika banjir melanda.
Kegagalan berkenaan menyebabkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan terbabit sebahagian besarnya terpaksa dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat.
Mahkamah turut mendapati Jabatan Meteorologi Malaysia gagal mengeluarkan amaran pada tahap bahaya yang sewajarnya dan pada masa yang tepat, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut diputuskan bertanggungan bersama.
Kes berkenaan melibatkan tuntutan ganti rugi khas berjumlah RM3.76 juta, selain ganti rugi am dan ganti rugi teruk yang dituntut 50 penduduk terbabit.
Mahkamah menetapkan 6 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh pendengaran penilaian ganti rugi kepada plaintif.
Keputusan itu menjadi perkembangan penting buat penduduk yang bukan sahaja berdepan kerosakan harta benda, malah kehilangan nyawa dan kesan berpanjangan akibat tragedi banjir besar yang melanda Taman Sri Muda pada 2021.
