NILAI – Penduduk di Taman Nada Alam di sini mendakwa sudah tidak mampu lagi menanggung masalah pencemaran bau busuk dipercayai berpunca daripada sisa tinja sebuah ladang berhampiran yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu tanpa penyelesaian tuntas.
Mereka mendakwa keadaan menjadi semakin teruk sejak tiga minggu kebelakangan ini apabila bau menyengat mula memenuhi kawasan perumahan terutama pada waktu petang dan selepas hujan sehingga menyebabkan rasa loya, pening kepala serta menjejaskan keselesaan hidup harian.
Mantan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Nada Alam 5, M. Kalaivanan berkata, masalah itu telah berlarutan sejak penghujung tahun 2019 dan memberi kesan kepada kira-kira 297 buah rumah di kawasan berkenaan. Menurutnya, pelbagai aduan telah dikemukakan kepada pihak berkaitan, malah beberapa lawatan pemeriksaan turut dilakukan, namun isu berkenaan masih gagal diselesaikan.
Katanya, penduduk mendakwa pihak pengurusan ladang pernah menerima amaran daripada pihak berkuasa, namun keadaan tidak banyak berubah sehingga mereka terpaksa menutup pintu dan tingkap bagi mengelakkan bau busuk memasuki rumah.
Seorang lagi penduduk, Alif Adha Mohd. Kamal berkata, pencemaran bau itu turut menjejaskan aktiviti riadah dan kemasyarakatan termasuk berjoging, berjalan kaki ke masjid serta mengadakan majlis kenduri kerana tetamu tidak selesa berada di kawasan tersebut.
Sementara itu, suri rumah, Syahidatul Nadiah Sabarman berkata, keadaan itu lebih membebankan individu yang banyak menghabiskan masa di rumah kerana terpaksa menghidu bau busuk hampir setiap hari sehingga menyebabkan tekanan emosi, pening kepala dan rasa loya.
Penduduk berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab agar masalah berlarutan itu dapat diselesaikan demi menjamin kesihatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Selain menjejaskan kesihatan dan keselesaan, penduduk bimbang pencemaran bau yang berlarutan boleh memberi kesan kepada nilai hartanah di kawasan tersebut serta menjejaskan imej taman perumahan yang selama ini dikenali sebagai kawasan kediaman yang bersih dan kondusif. Mereka berharap tindakan segera dapat diambil supaya masalah itu tidak terus berulang dan kesejahteraan penduduk kembali terjamin.
