SEREMBAN – Sindiket pengedaran dadah antarabangsa dikesan menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum bahan terlarang itu dihantar ke pasaran luar negara, termasuk Eropah.

Perkara itu terbongkar susulan empat operasi Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) antara 7 hingga 21 Julai lalu yang membawa kepada rampasan 722.9 kilogram (kg) dadah bernilai RM42.827 juta.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan empat individu berusia antara 30 hingga 40 tahun, membabitkan tiga rakyat tempatan dan seorang warga Vietnam.

Menurutnya, dadah terbabit dipercayai bukan untuk pasaran tempatan, sebaliknya Malaysia digunakan sebagai lokasi transit sebelum dihantar ke destinasi lain.

Dalam operasi pertama di sebuah gudang di Meru, Klang pada 7 Julai, pihaknya merampas 51.4kg bunga ganja bernilai RM4.11 juta yang disembunyikan dalam kotak bersama pes cili, lampin pakai buang dan makanan kering.

Serbuan di sebuah rumah di Bandar Botanic, Klang sehari kemudian pula menemukan 160.6kg bunga ganja bernilai RM12.84 juta.

Sementara itu, pemeriksaan khas Unit Anjing Pengesan (K9) di Pos Malaysia International Hub, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 9 Julai menemukan 3.3kg MDMA dan 2kg methamphetamine.

Rampasan terbesar direkodkan pada 21 Julai apabila sebanyak 505.6kg ketamin bernilai RM25.28 juta ditemui disembunyikan dalam kotak bersama serbuk koko di sebuah gudang di Seksyen 27, Shah Alam.

Keseluruhan kejayaan itu hasil kerjasama serta perkongsian maklumat dengan pihak berkuasa antarabangsa, termasuk Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, sekali gus membuktikan komitmen berterusan pihak berkuasa mengekang kegiatan penyeludupan dadah rentas negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *