WARGA INDONESIA GUNA MYKAD PALSU DEMI KERJA

KLANG – Demi mendapatkan pekerjaan, seorang wanita warga Indonesia sanggup membeli salinan kad pengenalan palsu dengan harga RM250 untuk menyamar sebagai rakyat Malaysia.

Wanita dikenali sebagai Rini, 37, itu bagaimanapun ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi Ops Layar yang dijalankan selama empat jam bermula pukul 5 petang di sebuah kilang di Bandar Sultan Suleiman, di sini, hari ini.

Rini berkata, dia pernah dihantar pulang ke Indonesia menerusi Program Rekalibrasi Pulang (RP) pada 2021 sebelum kembali ke Malaysia secara haram kira-kira empat tahun lalu dengan membayar RM1,500.

“Saya kemudiannya membeli salinan kad pengenalan palsu itu dengan harga RM250 untuk digunakan bagi mendapatkan pekerjaan di kilang percetakan.

“Selepas diterima bekerja, saya terus membuang salinan berkenaan dan menggunakan pasport lama serta hidup secara haram selama empat tahun di negara ini,” katanya selepas ditahan dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, dia menerima upah RM95 sehari secara tunai sepanjang bekerja di kilang terbabit.

Dia turut mengakui pernah berkahwin secara sindiket dengan lelaki warga Indonesia dan kini berstatus janda.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Putrajaya, Mazhad Abdul Aziz berkata, seramai 195 individu diperiksa dalam operasi berkenaan, termasuk 63 rakyat tempatan.

Katanya, tiga wanita berusia antara 24 hingga 37 tahun ditahan kerana dipercayai warga Indonesia yang menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau milik individu lain.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, JPN menjalankan 738 operasi sepanjang lapan bulan tahun ini, dengan 365 individu ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Daripada jumlah itu, 286 individu didakwa kerana menggunakan kad pengenalan palsu atau milik orang lain, manakala 79 lagi membabitkan penggunaan sijil kelahiran palsu.

Tindakan penguatkuasaan itu mencerminkan usaha berterusan JPN membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri serta kegiatan mendapatkan pekerjaan secara tidak sah di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *