UPAH RM50 BAWA PADAH, DUA PEMUDA  DICEKUP PGA

TUMPAT – Tindakan dua lelaki tempatan mengambil upah hanya RM50 untuk membawa masuk motosikal Yamaha RXZ dipercayai diseludup dari Thailand membawa padah apabila mereka dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan di Kampung Bendang Pak Yong, awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 19 dan 21 tahun ditahan ketika menunggang dan menunda dua motosikal Yamaha RXZ berwarna merah tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan berhampiran Bulatan Jam Kampung Bendang Pak Yong.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan dilakukan anggota Strike Force Sektor C Pengkalan Kubor, Kompeni A Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Tumpat semasa rondaan bermotosikal dijalankan di kawasan sempadan.

Menurut beliau, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang barangan salah pada tubuh kedua-dua suspek, namun semakan terhadap nombor enjin motosikal mendapati kenderaan tersebut tidak berdaftar di Malaysia dan dipercayai dibawa masuk secara haram dari Thailand.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku mengambil motosikal itu selepas ia dibawa masuk melalui sungai berhampiran pangkalan haram Poksu Roni sebelum diarahkan menghantarnya ke lokasi tertentu.

“Mereka juga mengaku menerima upah sebanyak RM50 bagi kerja membawa motosikal terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua motosikal Yamaha RXZ berwarna merah yang dianggarkan bernilai RM10,000 itu telah dirampas untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, siasatan turut mendapati suspek berurusan dengan seorang lelaki dikenali sebagai “Dollah” yang dipercayai menjadi orang tengah dalam kegiatan penyeludupan motosikal dari negara jiran.

Katanya, kes tersebut telah diserahkan kepada Pejabat Kastam Pengkalan Kubor untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau membawa masuk barangan tidak berkastam.

Dalam pada itu, PGA memberi amaran keras kepada mana-mana individu terutama golongan muda supaya tidak terlibat dengan kegiatan penyeludupan yang boleh mengundang tindakan undang-undang serius walaupun ditawarkan upah kecil.

Pihak berkuasa percaya sindiket penyeludupan motosikal dari Thailand masih aktif menggunakan laluan sungai dan pangkalan haram di kawasan sempadan Kelantan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *