SYED SADDIQ MINTA TUNGGU 30 JUN, ENGGAN ULAS SOAL KAHWIN

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta semua pihak menunggu sehingga 30 Jun sebelum beliau mengulas mengenai spekulasi perkahwinannya dengan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.

Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, fokus utamanya ketika ini adalah menantikan keputusan rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan berhubung kes membabitkan empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

“Soal jadi kahwin atau tidak, nanti boleh tanya semula pada 30 Jun. Lebih baik kita tunggu keputusan dahulu. Saya yakin dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah SWT. Jika kita berada di pihak yang benar, insya-Allah semuanya akan berjalan dengan baik,” katanya selepas menghadiri majlis solat hajat dan doa selamat di Madrasatul Hajjah Zubaidah, di sini.

Syed Saddiq berkata beliau kekal tenang walaupun keputusan muktamad kes yang telah melalui proses perundangan hampir tujuh tahun itu bakal diumumkan dalam beberapa hari lagi, selain menegaskan beliau tidak pernah cuba melengah-lengahkan prosiding mahkamah atau menggunakan saluran politik untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Mengulas mengenai Bella Astillah, beliau menyifatkan penyanyi itu bersama dua anaknya sebagai sumber kekuatan yang sentiasa memberikan keceriaan, kebahagiaan dan ketenangan sepanjang tempoh sukar yang dilaluinya. Malah, beliau berharap doa mereka turut menjadi antara asbab segala urusannya dipermudahkan.

Majlis solat hajat tersebut dihadiri kira-kira 300 ahli keluarga, rakan dan penyokong yang hadir bagi mendoakan kesejahteraan beliau menjelang keputusan rayuan akhir pada 30 Jun. Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terus memberikan sokongan sepanjang beliau berdepan perbicaraan tersebut.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi mensabitkan Syed Saddiq atas empat pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta serta dua sebatan. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada Jun 2025 membebaskan dan melepaskannya daripada semua pertuduhan sebelum pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan, yang akan menyampaikan keputusan muktamad pada 30 Jun ini.

Sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, ia sekali gus menamatkan proses perundangan yang dihadapi Syed Saddiq sejak hampir tujuh tahun lalu. Keputusan itu turut dijangka menjadi tumpuan ramai memandangkan ia bukan sahaja melibatkan kedudukan politik beliau, malah spekulasi mengenai perancangan masa depannya termasuk hubungan dengan Bella Astillah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *