SERDANG – Pembelajaran di universiti tidak lagi terhad kepada teori di dalam bilik kuliah, sebaliknya semakin tertumpu kepada pengalaman dunia sebenar yang mampu melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan bersedia memenuhi keperluan industri.
Pendekatan itu diterjemahkan menerusi kejayaan 73 pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan kereta lumba Formula SAE, Putra 2, dalam tempoh 13 bulan sebagai persediaan menyertai Formula SAE Japan 2026 di Aichi Sky Expo, Jepun pada 2 hingga 7 Ogos ini.
Projek yang diterajui Putra Motorsport Team (PMT) itu melibatkan sokongan 10 penasihat akademik dan lima staf teknikal merangkumi keseluruhan proses pembangunan jentera, termasuk reka bentuk, simulasi, fabrikasi, pemasangan serta pengujian.
Ketua Projek Putra 2, Aliman Zafran Yuslaimi berkata, projek berkenaan menjadi platform terbaik untuk pelajar mengaplikasikan pengetahuan kejuruteraan yang dipelajari di kuliah dalam suasana menyerupai industri sebenar.
Menurutnya, setiap keputusan teknikal perlu disokong oleh kajian, analisis serta data yang tepat kerana aspek keselamatan dan prestasi jentera menjadi keutamaan dalam pembangunan kereta lumba.
Beliau berkata, cabaran utama pasukan ialah mengimbangi komitmen akademik dengan pembangunan projek, selain berdepan kekangan kewangan bagi membawa pasukan ke pertandingan antarabangsa tersebut.
Walaupun hanya bermula dengan dana sekitar RM5,000, projek bernilai hampir RM120,000 itu akhirnya berjaya direalisasikan hasil sokongan universiti, pensyarah serta penaja industri.
Antara pembaharuan utama Putra 2 ialah penggunaan sistem pemerolehan data masa nyata yang membolehkan prestasi jentera dipantau dengan lebih tepat ketika berada di litar, selain penambahbaikan sistem suspensi pushrod bagi meningkatkan keupayaan talaan mengikut keadaan litar.
Naib Canselor UPM, Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, berkata pembangunan Putra 2 membuktikan institusi pengajian tinggi berperanan sebagai pusat melahirkan bakat yang mampu menghasilkan teknologi serta inovasi bernilai tinggi.
Beliau berkata, pengalaman membangunkan produk sebenar membantu pelajar mengasah kemahiran menyelesaikan masalah, bekerja secara berpasukan dan memahami kehendak industri sebelum menamatkan pengajian.
Sementara itu, penasihat PMT, Mohd. Khairol Anuar Mohd. Ariffin, berkata Formula SAE bukan sekadar perlumbaan, malah menguji keupayaan pelajar dalam aspek kejuruteraan, pengurusan kos, dokumentasi teknikal, pembentangan perniagaan dan prestasi jentera.
Beliau berkata, pasukan UPM menyasarkan untuk berada dalam kelompok 30 terbaik pada edisi kali ini selepas menduduki tempat ke-60 daripada 80 pasukan menerusi penyertaan Putra 1 pada tahun 2024.
Kejayaan membangunkan Putra 2 sekali gus membuktikan pembelajaran berasaskan projek mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki pengalaman praktikal, daya inovasi dan kebolehpasaran tinggi selaras dengan keperluan industri masa depan.
