PENGALAMAN KERJA JADI LALUAN RAIH IJAZAH

KUALA LUMPUR – Pekerja yang tidak memiliki kelayakan akademik formal kini berpeluang melanjutkan pengajian menerusi pengiktirafan pengalaman kerja dan kemahiran industri, sekali gus membuka laluan kepada kerjaya di peringkat antarabangsa.

Inisiatif yang diperkenalkan oleh SNT Group (M) Sdn Bhd itu menyasarkan seramai 10,000 pekerja tempatan dengan menawarkan laluan memperoleh sijil, diploma atau ijazah tanpa perlu memulakan pengajian dari peringkat asas, tertakluk kepada penilaian pengalaman dan syarat institusi pendidikan.

Pengerusi SNT Group, Prof. Datuk Seri Dr. Azizul Rahim Saedin berkata, program berasaskan pembelajaran dan pengalaman industri itu memberi peluang kepada peserta memperoleh kelayakan akademik yang diiktiraf, selain meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor pekerjaan berkemahiran tinggi.

Menurut beliau, peserta yang menamatkan pengajian dan latihan berpeluang ditawarkan pekerjaan di Australia, United Kingdom, New Zealand serta beberapa negara Eropah berdasarkan keperluan industri, dengan pakej gaji dan faedah yang lebih kompetitif.

Beliau berkata, syarikat itu turut menjalin kerjasama dengan universiti, kolej dan agensi pekerjaan di dalam serta luar negara bagi menyediakan laluan pendidikan dan kerjaya yang lebih tersusun, termasuk peluang menyambung pengajian sambil bekerja mengikut syarat yang ditetapkan.

Katanya, pekerja yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman boleh mengikuti kursus jangka pendek sebelum pengalaman mereka dinilai bagi melayakkan mereka memperoleh diploma, manakala mereka yang mempunyai pengalaman antara lima hingga 10 tahun berpeluang mendapatkan ijazah.

Tambah beliau, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan universiti luar negara diharap dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja berpengalaman yang turut memiliki kelayakan akademik diiktiraf, sekali gus meningkatkan daya saing dan potensi pendapatan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan bukan sahaja membantu pekerja meningkatkan kelayakan akademik, malah menyokong agenda pembangunan modal insan negara dengan melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, berdaya saing serta memenuhi keperluan industri global yang semakin memerlukan pekerja berkelayakan dan berpengalaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *