DISKO RETRO TANPA LESEN: PENGANJUR BERDEPAN DENDA RM60,000, PENJARA LAPAN TAHUN

KOTA BHARU – Penganjur program hiburan bertemakan disko retro dan hippie era 1960-an hingga 1980-an yang tular di media sosial kini berdepan tindakan tegas selepas didapati menganjurkan acara tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, hasil siasatan Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan bersama pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mendapati penganjur tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan permit bagi menganjurkan program tersebut.

Menurut beliau, penganjur dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 kerana menganjurkan hiburan tanpa permit yang sah, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, penganjur turut didakwa melanggar Seksyen 20(1)(a) enakmen sama kerana menjual tiket hiburan tanpa lesen yang sah, yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun. Secara keseluruhannya, mereka boleh berdepan hukuman maksimum denda RM60,000 dan penjara sehingga lapan tahun jika disabitkan atas kedua-dua kesalahan tersebut.

Hilmi berkata, beberapa notis kompaun telah dikeluarkan kepada penganjur dan pemilik premis mengikut peruntukan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 serta Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemilik premis boleh dikenakan tindakan kerana melanggar syarat lesen perniagaan, termasuk kompaun serta pembatalan lesen sekiranya siasatan mendapati berlaku penyalahgunaan premis.

Tambah beliau, program berkenaan juga didapati melanggar Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 serta Pekeliling Negeri Bilangan 4 Tahun 2003 yang mengawal penganjuran aktiviti hiburan di Kelantan.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan peserta yang terlibat secara individu juga boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan, tertakluk kepada hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Terdahulu, video berdurasi kira-kira 40 saat memaparkan sekumpulan pengunjung menari beramai-ramai dalam program bertemakan disko retro dan hippie di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.

Susulan itu, MPKB-BRI telah menjalankan operasi serta mengambil keterangan daripada saksi dan pihak berkaitan bagi melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.

Sementara itu, pemilik restoran, Fara Sharina Zamari menafikan pihaknya terbabit dalam penganjuran program berkenaan. Beliau mendakwa hanya menyewakan ruang restoran kepada seorang pelanggan yang memaklumkan majlis tersebut adalah sambutan hari jadi membabitkan kira-kira 40 wanita.

Menurutnya, penganjur tidak pernah memaklumkan bahawa program itu akan bertemakan disko retro atau melibatkan kehadiran lelaki dan wanita secara bercampur. Malah, ketika majlis berlangsung beliau berada di luar negara.

Fara berkata, beliau hanya mengetahui mengenai program berkenaan selepas video tersebut tular dan segera menghubungi individu yang membuat tempahan apabila diminta memberi penjelasan oleh pihak MPKB-BRI.

Kerajaan Kelantan menegaskan bahawa pihaknya tidak menghalang penganjuran program hiburan, namun semua penganjur perlu mematuhi undang-undang, mendapatkan permit yang diperlukan serta mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan bagi memastikan setiap program berlangsung secara teratur dan mengikut peraturan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *