PETALING JAYA – Kerajaan digesa memberi perhatian lebih serius terhadap kebajikan dan kesihatan mental guru bagi memastikan kesejahteraan warga pendidik terus terpelihara, selain mengelakkan insiden yang tidak diingini berulang.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan berkata, setiap isu atau masalah yang dibangkitkan golongan pendidik tidak wajar dipandang remeh kerana ia berkait rapat dengan kesejahteraan fizikal, emosi, rohani dan intelektual mereka.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan mewartakan Akta Perlindungan Guru, menyediakan kaunselor khas serta Program Rakan Sebaya Guru di sekolah, selain mempertimbangkan pelaksanaan cuti sabatikal sebagai antara langkah memperkukuh sokongan kepada warga pendidik.
Menurutnya, kejadian membabitkan seorang guru wanita yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Hulu Selangor baru-baru ini merupakan insiden luar biasa yang perlu dijadikan pengajaran untuk memperbaiki sistem sokongan terhadap guru.
Katanya, laporan lengkap hasil siasatan perlu dikongsikan kepada umum sebaik siasatan selesai bagi mengenal pasti punca kejadian, di samping membantu semua pihak merangka langkah pencegahan yang lebih berkesan pada masa hadapan.
Terdahulu, seorang guru wanita ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Hulu Selangor sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Polis menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu melalui talian MERS 999 kira-kira pukul 7.15 pagi dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Beliau turut menegaskan kesejahteraan guru perlu menjadi agenda bersama melibatkan Kementerian Pendidikan, pentadbir sekolah, ibu bapa serta masyarakat agar golongan pendidik dapat menjalankan tugas dalam persekitaran kerja yang lebih selamat, kondusif dan bebas daripada tekanan melampau.
Dalam masa sama, beliau berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan sehingga siasatan pihak berkuasa selesai, sebaliknya menjadikan insiden itu sebagai peringatan untuk memperkukuh sistem sokongan psikososial dan kebajikan guru di semua institusi pendidikan.
