TANJUNG MALIM – Bermula dengan ajakan rakan mencuba kayak ketika berusia 13 tahun, Syahida Asyiqin Rusli tidak menyangka minat yang pada awalnya sekadar suka-suka itu akhirnya membawanya bergelar Olahragawati Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Sains Kejurulatihan) dengan Kepujian, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berjaya meraih emas acara TK1 200 meter (m) selain mencipta rekod kebangsaan dengan catatan 56.30 saat pada pusingan kelayakan.
Catatan berkenaan memperbaiki rekod terdahulu 57.29 saat, manakala Syahida kemudian mengekalkan kejuaraan dengan meraih emas pada peringkat akhir menerusi catatan 58.50 saat.
Lebih menarik, kejayaan itu hadir selepas acara K1 200m yang menjadi persiapan asalnya digugurkan, menyebabkan atlet berusia 22 tahun itu perlu menyesuaikan diri dengan TK1 200m dalam tempoh persediaan yang ada.
“Saya memang tidak menyangka akan dapat sesuatu yang besar pada SUKIPT kali ini. Bila acara asal digugurkan, saya cuma fikir bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan yang baharu dan buat persediaan sebaik mungkin,” katanya.
Syahida berkata, dia hadir ke SUKIPT 2026 dengan sasaran memberikan prestasi terbaik dan cuba menghadiahkan pingat emas kepada UPSI tanpa menyangka mampu memecahkan rekod kebangsaan atau dinobatkan sebagai Olahragawati.
Di sebalik pencapaian itu, Syahida turut membuktikan bahawa kecemerlangan dalam sukan boleh bergerak seiring dengan kejayaan akademik apabila dia berusaha membahagikan masa antara kuliah, tugasan dan latihan.
“Saya tidak mahu sebab terlalu fokus kepada sukan, akademik terabai dan begitu juga sebaliknya. Jadi, saya cuba jalankan kedua-duanya sebaik mungkin dan buat yang terbaik untuk setiap tanggungjawab yang saya ada,” katanya.
Minat Syahida terhadap sukan bermula sejak sekolah rendah apabila dia aktif dalam olahraga dan bola jaring sebelum diperkenalkan kepada kayak ketika berusia 13 tahun.
Ironinya, dia mengakui pernah takut air sebelum mula jatuh cinta dengan sukan berkenaan selepas menyertai sebuah kelab kayak yang sedang mencari ahli baharu.
Pertandingan pertamanya ialah Regatta UPSI pada 2017 dan kejayaan meraih satu emas serta satu perak ketika itu mendorongnya untuk mengambil sukan berkenaan dengan lebih serius.
Sejak itu, kayak menjadi sebahagian daripada rutin hidupnya yang menuntut disiplin, ketahanan mental dan pengorbanan masa bersama keluarga serta rakan.
Ketika membuat persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) sewaktu tingkatan lima, Syahida pernah tinggal di kelab kayak dan hanya pulang ke rumah pada hari cuti.
Komitmen tersebut membuahkan hasil apabila dia meraih empat emas, dua perak dan satu gangsa dalam acara sprint pada Sukma 2022 selain mencipta empat rekod kebangsaan.
Pada SUKIPT 2024 pula, dia memenangi emas K1 200m dan memecahkan rekod kebangsaan yang pernah diciptanya sendiri pada Sukma 2022.
Menurut Syahida, latihan kayak bukan sekadar bergantung kepada kekuatan fizikal kerana teknik kayuhan, penggunaan tenaga, kawalan kayak serta kekuatan mental turut memainkan peranan penting.
Kini, rutin latihannya lazimnya melibatkan dua sesi sehari pada waktu pagi dan petang, masing-masing sekitar dua hingga dua setengah jam bergantung kepada jenis latihan serta persediaan pertandingan.
Dalam masa sama, anak bongsu daripada enam beradik itu mahu memastikan perjalanan akademiknya terus cemerlang kerana dia bercita-cita menjadi guru.
“Saya sangat sayang dengan sukan kayak dan masih banyak yang saya ingin capai. Selagi saya masih diberikan peluang untuk bermain, saya akan cuba buat yang terbaik dan lihat sejauh mana saya boleh pergi.
“Dalam akademik pula, saya mahu terus mengekalkan Anugerah Dekan pada setiap semester. Saya mahu terus seimbangkan kedua-duanya kerana saya tidak mahu pencapaian dalam sukan menyebabkan saya mengabaikan pelajaran,” katanya.
