UMT PACU BAKAT LOGISTIK, SASAR 237,000 TENAGA PROFESIONAL

BATU KAWAN – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkukuh peranannya dalam pembangunan bakat dan ekosistem logistik negara menerusi penganjuran International Logistics Symposium (ILS) dan Logistics Industrial Forum (LIF) 2026.

Program yang berlangsung di The Ship Campus, di sini, dari 15 hingga 17 Ogos itu menghimpunkan kira-kira 258 pelajar daripada 25 institusi, termasuk empat institusi antarabangsa, selain 100 wakil industri dan 12 rakan strategik.

Selepas empat tahun dianjurkan, ILS dan LIF telah memberi pendedahan kepada hampir 1,000 pelajar mengenai perkembangan industri logistik serta membuka ruang libat urus secara langsung bersama pemimpin industri, akademia dan agensi kerajaan.

Menjalankan fungsi Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Suriyani Muhamad berkata, pembangunan bakat menjadi fokus utama Malaysia Logistics Consortium (MLC) dalam memastikan tenaga kerja logistik negara kekal kompeten dan bersedia menghadapi perubahan industri.

Katanya, MLC yang ditubuhkan pada 2025 di bawah Program MOHE Research and Industry-Infused Incubator (MRI3), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dengan UMT sebagai universiti peneraju, menjadi platform penting memperkukuh kerjasama universiti dan industri.

Masa depan logistik bergantung kepada kualiti bakat hari ini. MLC akan membentuk kerjasama universiti–industri untuk membangunkan bakat masa hadapan,” katanya ketika merasmikan ILS dan LIF 2026.

Beliau berkata, MLC turut memberi penekanan terhadap kemahiran berasaskan industri, literasi digital serta kerjasama strategik bagi memperkukuh inovasi dan jaringan logistik negara.

Menurutnya, ILS dan LIF menjadi platform penting yang menghubungkan pelajar dengan industri secara langsung, selaras dengan objektif MLC serta pendekatan Quadruple Helix yang melibatkan universiti, industri, kerajaan dan masyarakat.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Dr. Noraisah Spahat pula berkata, penganjuran ILS dan LIF 2026 membuktikan pelaksanaan MLC secara praktikal melalui kerjasama akademia dan industri.

“ILS dan LIF 2026 mencerminkan pelaksanaan MLC yang menyokong agenda pendidikan tinggi negara secara bersepadu dan berorientasikan hasil,” katanya.

Sementara itu, Dr. Suriyani berkata, MLC menyasarkan pembangunan 237,000 tenaga profesional logistik menjelang 2030 melalui pengukuhan pendidikan TVET, program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling).

Katanya, UMT komited memperluas jaringan MLC bagi meningkatkan pengalaman industri, kemahiran serta keupayaan inovasi pelajar dan tenaga kerja.

“Pendekatan ini meletakkan UMT sebagai pemangkin bakat dan inovasi bagi memperkukuh daya saing logistik Malaysia di ASEAN,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *