JOHOR BAHRU – Semua sekolah di Johor diarahkan tutup selama dua hari bermula 8 hingga 9 Oktober 2026 susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, keputusan itu dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar terpelihara.
Menurutnya, penutupan itu membabitkan 1,198 sekolah di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kerajaan negeri, melibatkan seramai 617,258 murid dan pelajar.
“Semua sekolah di seluruh negeri Johor akan ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober 2026 sebagai langkah berjaga-jaga demi menjaga keselamatan dan kesihatan murid dan pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) dan mana-mana pentaksiran yang dijadualkan dalam tempoh berkenaan akan ditangguhkan dan dijadualkan semula tertakluk kepada ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pihak berkaitan.
Katanya, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas sepenuhnya.
“Kerajaan negeri memahami keputusan ini mungkin memberi kesan kepada urusan ibu bapa dan penjaga yang masih perlu bekerja. Justeru, kerjasama majikan amat dihargai dengan memberikan fleksibiliti serta pengaturan kerja yang munasabah kepada ibu bapa yang terkesan,” katanya.
Dalam pada itu, ibu bapa dan penjaga diseru memantau tahap kesihatan anak masing-masing, mengehadkan aktiviti luar, memastikan pengambilan air mencukupi serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.
Kerajaan negeri bersama agensi berkaitan juga akan terus memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil berdasarkan perkembangan terkini keadaan kualiti udara.
