SUBANG JAYA – Atlet menembak Sabah, Nur Aina Natasya Anderson menutup tirai penampilan terakhirnya di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan penuh gemilang apabila meraih pingat emas acara 10 meter (m) air rifle wanita di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, hari ini.
Atlet berusia 19 tahun itu mengumpul 244.8 mata untuk menewaskan wakil Pahang, Nur Auni Arissa Muhammad Azaha yang meraih perak dengan 244.2 mata, manakala Nor Alya Aqila Mahathir dari Perak membawa pulang gangsa selepas mengumpul 223.4 mata.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Aina yang menanti selama empat tahun untuk merealisasikan impian meraih emas di pentas SUKMA, selepas sebelum ini sekadar membawa pulang gangsa dalam acara berpasukan pada SUKMA Sarawak.
“Saya rasa macam tidak percaya dapat menang pingat, terutama emas. Memang tidak jangka sebab saingan sangat sengit.
“Saya sangat gembira kerana dapat capai impian saya untuk memenangi emas pada SUKMA terakhir saya ini,” katanya yang sebak selepas perlumbaan.
Ketenangan menjadi kunci kejayaan Aina apabila dia mampu mengawal tekanan dalam persaingan sengit selain mendapat suntikan semangat daripada penyokong Sabah yang tidak henti-henti memberikan sokongan.
“Saya tidak hiraukan apa yang berlaku di belakang. Bunyi nyanyian penyokong saya ikut rentak dan jadikan ia sebagai semangat. Bila dengar lagu Sabah, semangat saya semakin kuat untuk menembak dengan baik,” katanya.
Aina bagaimanapun bakal meninggalkan arena kompetitif selepas ini bagi memberi tumpuan kepada pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang akan bermula September ini.
Katanya, tuntutan pengajian yang mencabar menyebabkan SUKMA Selangor menjadi penampilan terakhirnya dalam acara individu, namun dia masih akan meneruskan saingan bagi acara berpasukan campuran dan 50m prone.
“Saya mahu sambung belajar dan kursus yang saya ambil pun susah. Jadi, ini memang yang terakhir buat saya. Saya mahu belajar dalam bidang perubatan dan cita-cita saya memang mahu menjadi doktor,” katanya.
Emas yang diraih Aina menjadi penutup manis kepada perjalanan empat tahunnya dalam SUKMA, sekali gus membuktikan usaha dan latihan berterusan akhirnya membuahkan hasil sebelum dia membuka lembaran baharu untuk mengejar impian dalam bidang perubatan.
