PETALING JAYA – Perkongsian seorang ibu yang bersikap terbuka terhadap tindakan guru mendisiplinkan anaknya mencetuskan perhatian ramai apabila meraih pelbagai reaksi positif di media sosial.

Menerusi hantaran di akaun TikTok @Makmuhammads, wanita itu mendedahkan anaknya mengadu dicubit oleh guru kelas selepas penguasaan Bahasa Inggeris murid-murid tidak mencapai tahap yang ditetapkan.

Bagaimanapun, ibu berkenaan menganggap tindakan guru itu sebagai sebahagian daripada usaha mendidik, malah menyatakan beliau tidak berkecil hati selagi hukuman yang dikenakan tidak melampaui batas.

Ungkapan yang dikongsinya, “Daging cikgu punya, tulang saya punya. Asalkan jangan patah je cikgu,” turut menarik perhatian warga maya kerana menggambarkan kepercayaan terhadap peranan guru dalam membentuk sahsiah dan disiplin anak-anak.

Ruangan komen dipenuhi pelbagai pandangan, dengan kebanyakan pengguna media sosial memuji sikap wanita itu yang dilihat menghormati profesion perguruan serta menyerahkan urusan pendidikan anak kepada guru ketika berada di sekolah.

Ada juga ibu bapa berkongsi pendirian sama dengan menyatakan anak-anak adalah tanggungjawab guru ketika berada di sekolah, manakala ibu bapa meneruskan didikan apabila mereka berada di rumah.

Perkongsian itu sekali lagi membuka perbincangan mengenai kerjasama antara ibu bapa dan guru dalam membentuk disiplin serta sahsiah murid, selain menekankan kepentingan komunikasi yang baik antara kedua-dua pihak.

Namun, orang ramai turut berpandangan bahawa setiap bentuk tindakan disiplin terhadap murid perlu dilaksanakan secara berhemah, mengikut garis panduan ditetapkan serta tidak melibatkan unsur penderaan fizikal atau emosi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *