55,169 PENJAWAT AWAM BERISIKO TINGGI KESIHATAN MENTAL

KUALA LUMPUR – Seramai 55,169 penjawat awam yang menjalani saringan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD) dikategorikan sebagai berisiko tinggi dalam isu kesejahteraan mental, termasuk mempunyai kecenderungan membunuh diri.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail, berkata angka berkenaan menunjukkan isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam perlu diberi perhatian serius serta ditangani menerusi pendekatan lebih menyeluruh.

Menurut beliau, kesejahteraan psikologi penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara perlu dilihat sebagai satu pelaburan strategik dan bukan sekadar usaha menangani masalah selepas ia berlaku.

“Dapatan Kajian Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia pada 2025 turut menunjukkan kesejahteraan psikologi antara faktor penting yang mempengaruhi kesejahteraan organisasi, sekali gus memberi kesan kepada kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam Tahun 2026 (PSYCON 2026), di sini semalam.

Katanya, usaha memperkukuh kesejahteraan psikologi secara holistik penting bagi memastikan warga perkhidmatan awam kekal cekap, responsif dan berdaya tahan dalam melaksanakan tanggungjawab.

Beliau berkata, dapatan saringan berkenaan juga perlu dilihat sebagai isyarat untuk memperkukuh langkah pencegahan, sokongan psikologi serta intervensi awal kepada penjawat awam yang memerlukan bantuan.

Pendekatan berkenaan penting bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat, selain memastikan isu berkaitan tekanan dan kesejahteraan mental dapat dikenal pasti serta ditangani pada peringkat awal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *