HARGA PETROL, DIESEL NAIK 35 SEN

PUTRAJAYA – Harga runcit RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat 35 sen seliter bagi tempoh 17 hingga 23 September 2026.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan RON97 kini ditetapkan pada RM4.85 seliter, berbanding RM4.50 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi meningkat daripada RM4.02 kepada RM4.37 seliter.

Harga diesel tanpa subsidi turut naik daripada RM4.92 kepada RM5.27 seliter.

MOF berkata, pelarasan itu dibuat berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), susulan peningkatan harga petroleum dunia yang dipengaruhi perkembangan geopolitik dan gangguan bekalan.

Menurut kementerian itu, ketegangan di Asia Barat yang semakin memuncak, termasuk gangguan terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz serta serangan terhadap infrastruktur tenaga, memberi tekanan kepada pasaran petroleum global.

Keadaan tersebut turut menyebabkan harga minyak mentah Brent kembali melepasi AS$100 setong, dengan harga menghampiri AS$110 setong sepanjang tempoh pengiraan APM.

MOF berkata, margin penapisan yang kekal tinggi susulan gangguan kapasiti penapisan di Rusia turut menyumbang kepada tekanan harga produk petroleum bertapis.

Dalam pada itu, harga bahan api bersubsidi bagi penerima yang layak dikekalkan, dengan RON95 menerusi BUDI95 pada RM1.99 seliter, manakala diesel BUDI MADANI pada RM2.10 seliter.

Mulai 1 September, had kelayakan asas bulanan BUDI95 dan BUDI Diesel dinaikkan kepada 300 liter, manakala pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak boleh menerima tambahan 100 liter, menjadikan kelayakan sehingga 400 liter sebulan.

MOF memaklumkan kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran petroleum global dan mengekalkan mekanisme subsidi bersasar bagi membantu mengurangkan kesan turun naik harga minyak kepada pengguna yang layak. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *