MADANI TERKINI | RM3.2 JUTA DIPERUNTUK BAIKI INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM DI JOHOR

Sebanyak RM3.205 juta diperuntuk Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih infrastruktur asas di institusi pendidikan Islam di seluruh Johor, umum Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuhkan sektor pendidikan termasuk pendidikan Islam yang sebelum ini turut dilaksanakan di beberapa negeri lain.

Menurutnya, kerajaan memberi perhatian terhadap keperluan institusi pendidikan Islam di Johor yang memerlukan penambahbaikan kemudahan asas.

“Johor juga tidak terkecuali dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam dan kita akan salurkan RM3.205 juta bagi membaik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di negeri ini.

“Bagi Johor, sebanyak 16 projek telah diluluskan melibatkan jumlah keseluruhan RM3.205 juta dan saya berharap projek pembaikan ini dapat disegerakan,” katanya dipetik Harapan Madani.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Madani Kita bersama Kawasan Rukun Tetangga(KRT) di Dataran Segamat dan Program Jom! Makan Durian di Taman Yayasan pada Rabu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan merangkap Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sebelum ini turut mengambil langkah mengembalikan peruntukan kepada sekolah agama rakyat yang pernah dihentikan.

Katanya lagi, banyak institusi pendidikan agama di seluruh negara memerlukan perhatian segera berikutan keadaan kemudahan yang uzur termasuk asrama rosak dan masalah kemudahan asas lain.

“Pada tahun 2024, banyak sekolah yang daif, tandas tidak sempurna, asrama rosak dan berlaku pelbagai kerosakan lain.

“Sebab itu saya mengambil keputusan untuk membantu sekolah agama dan institusi pendidikan Islam,” ujarnya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu lagi, pengumuman berkaitan peruntukan bagi sekolah Cina dan Tamil akan dibuat dalam majlis lain dalam masa terdekat.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=kFulj5rs5R4&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *