SUNATHON MESRA AUTISME CETUS HARAPAN BAHARU

ALOR SETAR: Sambutan Bulan Kesedaran Autisme Sedunia 2026 terus diterjemahkan melalui pendekatan lebih inklusif apabila Hospital Pakar Kanak-kanak UKM menerusi Hospital Tengku Ampuan Bahiyah Tuanku Aishah Rohani (HTABTAR) menganjurkan Program Sunathon khas untuk kanak-kanak autisme.

Program unik itu dilihat sebagai antara inisiatif terawal di Malaysia yang memberi fokus khusus kepada golongan dalam spektrum autisme bagi menjalani prosedur berkhatan dalam suasana lebih selamat, tenang dan mesra emosi.

Pakar Perunding Kanan Pediatrik Surgeri hospital berkenaan, Dr. Marjmin Osman berkata, program tersebut mencerminkan komitmen institusi kesihatan dalam memastikan setiap kanak-kanak menerima layanan dan akses rawatan yang adil tanpa dipinggirkan.

Menurut beliau, pendekatan khas diperkenalkan selepas pihak hospital menerima banyak permintaan daripada ibu bapa yang mahu anak autisme mereka menjalani prosedur khatan dalam keadaan lebih terkawal dan kurang tekanan.

Berbeza dengan sunathon biasa, program itu dilaksanakan secara lebih teliti dengan mengambil kira cabaran emosi serta sensitiviti deria yang sering dialami kanak-kanak autisme.

Antara pendekatan diperkenalkan termasuk penyediaan ruang khas “calming area”, penggunaan komunikasi lebih lembut, teknik distraksi serta penglibatan ibu bapa sepanjang proses rawatan.

Selain itu, setiap peserta turut menjalani saringan awal bagi menentukan kesesuaian prosedur dan penggunaan bius penuh demi memastikan keselamatan serta mengurangkan risiko komplikasi.

Program berkenaan melibatkan kerjasama pelbagai disiplin termasuk pasukan pembedahan pediatrik, pakar bius, pakar psikologi klinikal, Child Development Centre (CDC) serta beberapa unit sokongan lain.

Seramai 21 kanak-kanak autisme dipilih menyertai program itu daripada lebih 300 permohonan yang diterima selepas melalui penilaian menyeluruh oleh pakar.

Menurut pihak hospital, pendekatan mesra autisme itu bukan sahaja membantu aspek kebersihan dan kesihatan, malah berpotensi mengurangkan rangsangan deria berlebihan serta memperbaiki tingkah laku berulang dalam kalangan kanak-kanak terlibat.

Inisiatif tersebut sekali gus menjadi contoh bagaimana sistem kesihatan negara terus bergerak ke arah perkhidmatan lebih inklusif, prihatin dan berfokus kepada kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *