RM500,000 NAIK TARAF KESIHATAN ORANG ASLI KEMAR

IPOH – Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan segera RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan kesihatan di Klinik Kesihatan (KK) Kemar, Gerik, khususnya untuk memperkukuh perkhidmatan kepada lebih 4,500 penduduk Orang Asli di sekitar Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kemar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara keutamaan peruntukan itu ialah pembinaan Rumah Penyimpan Bot baharu bagi menggantikan kemudahan sedia ada yang telah berusia lebih 11 tahun dan hanya mampu menempatkan sebuah bot.

Menurutnya, keadaan itu menyukarkan urusan perlindungan serta penyelenggaraan aset penting yang digunakan untuk membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Orang Asli yang bergantung kepada laluan air sebagai penghubung utama.

“Peruntukan turut disalurkan bagi perolehan aset seperti pacuan empat roda untuk menggantikan kenderaan sedia ada yang uzur, selain kelengkapan perubatan kritikal bagi melancarkan proses intubasi ketika mengendalikan kes kecemasan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly berkata KKM turut komited menyegerakan pembinaan KK Kemar yang baharu supaya penduduk setempat dapat menikmati kemudahan penjagaan kesihatan yang lebih selesa, komprehensif dan moden.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan serta menyantuni warga kerja fasiliti kesihatan berkenaan dalam siri lawatan kerja di Hulu Perak.

Pada lawatan itu, beliau turut merasmikan Bot Medik 8 di Jeti Belum Rainforest Resort, iaitu aset bernilai RM350,000 berkapasiti 12 penumpang yang akan melengkapi enam bot KKM sedia ada.

Dzulkefly berkata penambahan aset berkenaan penting bagi memendekkan tempoh respons kecemasan, terutama bagi komuniti Orang Asli di sekitar RPS Kemar yang bergantung sepenuhnya kepada laluan air untuk mendapatkan akses perkhidmatan.

Beliau turut menegaskan komitmen KKM memastikan faktor geografi dan bentuk muka bumi pedalaman tidak menjadi penghalang kepada rakyat untuk mendapatkan rawatan berkualiti, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang mengutamakan akses kesihatan secara saksama.

Dalam pada itu, tinjauan beliau ke Pusat Program Community Feeding di RPS Kemar turut memperlihatkan hasil positif intervensi pemakanan bersasar bagi kanak-kanak Orang Asli berusia enam bulan hingga enam tahun.

Program yang dilaksanakan sejak 2015 hingga 2025 itu merangkumi aktiviti active feeding, pemberian susu tepung penuh krim, multivitamin serta Makanan Terapeutik Sedia Diguna (RUTF) bagi kes kekurangan zat makanan.

Menurut Dzulkefly, kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak terbabit berjaya dikurangkan daripada 75.2 peratus kepada 50.8 peratus, manakala kadar kurang berat badan turut menurun daripada 43.7 peratus kepada 25.2 peratus.

Beliau berkata pencapaian itu membuktikan intervensi pemakanan yang dilaksanakan secara berterusan mampu memberikan impak ketara terhadap kesihatan dan tumbesaran kanak-kanak Orang Asli di kawasan pedalaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *