MC KERANA SENGGUGUT BUKAN TANDA WANITA MANJA

KUALA LUMPUR – Senggugut yang teruk sehingga menjejaskan keupayaan bekerja bukan perkara remeh, sebaliknya boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang memerlukan pemeriksaan perubatan, termasuk endometriosis.

Tanggapan bahawa wanita yang mengambil cuti sakit (MC) akibat senggugut sebagai manja atau tidak tahan sakit perlu diperbetulkan kerana tahap kesakitan haid berbeza bagi setiap individu.

Bagi Nur Iris Zakaria, 25, kesakitan ketika haid bukan sahaja perlu ditanggung secara fizikal, malah turut disusuli rasa serba salah apabila ketidakhadirannya di tempat kerja dipersoalkan.

Beliau berkata, ada yang menganggap dirinya sengaja mengambil kesempatan untuk berehat, sedangkan kesakitan dialami boleh mengganggu tumpuan dan keupayaan melaksanakan tugas harian.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nur Rowaidah Roslan berkata, walaupun haid merupakan proses fisiologi normal, kesakitan yang terlalu teruk sehingga mengganggu kehidupan harian tidak seharusnya dianggap biasa.

Menurutnya, senggugut lazimnya berlaku akibat penghasilan prostaglandin yang mencetuskan pengecutan rahim, manakala kesakitan yang teruk atau berulang boleh dikaitkan dengan masalah ginekologi seperti endometriosis, adenomyosis dan fibroid rahim.

Endometriosis ialah keadaan apabila tisu yang menyerupai lapisan dalam rahim tumbuh di luar rahim, sekali gus boleh menyebabkan keradangan dan kesakitan pelvis yang menjejaskan kualiti hidup.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), endometriosis menjejaskan kira-kira satu daripada 10 wanita dalam usia reproduktif di seluruh dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *