PETALING JAYA – Harga emas dunia dijangka meneruskan trend penurunan sehingga mencecah AS$3,900 (RM15,813.33) seauns atau kira-kira RM507.88 segram susulan tekanan inflasi Amerika Syarikat (AS) yang meningkatkan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).
Perkembangan itu memberi tekanan kepada pasaran logam berharga berikutan emas tidak menawarkan pulangan faedah, sekali gus menjadikannya kurang menarik kepada pelabur apabila kadar faedah dijangka meningkat.
Pada masa sama, tindakan pelabur menjual saham teknologi turut meningkatkan keperluan mendapatkan tunai, sekali gus menambah tekanan jualan terhadap emas.
Dalam perkembangan terbaharu, harga emas spot dunia jatuh 3.5 peratus kepada AS$3,880.97 seauns pada Jumaat, paras terendah sejak Oktober 2025, sekali gus melepasi paras AS$3,900 yang sebelum ini menjadi unjuran sokongan pasaran.
Penurunan itu turut dipengaruhi kejatuhan saham teknologi susulan kebimbangan pelabur terhadap pulangan pelaburan besar dalam sektor kecerdasan buatan (AI).
Keadaan pasaran saham yang tidak menentu dipercayai mendorong sebahagian pelabur menjual pegangan logam berharga bagi mendapatkan tunai dan memenuhi tuntutan margin.
Di Malaysia, harga spot emas 999 turut menunjukkan penyusutan kepada sekitar RM507.61 segram pada 31 Oktober, berbanding RM510.12 sehari sebelumnya.
Sementara itu, harga rujukan emas 916 berada pada sekitar RM464.97 segram.
Harga jualan sebenar di kedai emas mungkin berbeza mengikut ketulenan, kos upah, margin peniaga dan jenama.
Dalam perkembangan sama, harga perak dunia merosot 6.5 peratus kepada AS$49 seauns, manakala platinum susut 4.2 peratus kepada AS$1,425.02 seauns dan paladium turun tiga peratus kepada AS$976.08 seauns.
Penganalisis bagaimanapun berpandangan, perkembangan seterusnya berkaitan inflasi, keputusan dasar monetari Fed dan keadaan pasaran saham akan terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi pergerakan harga emas dalam tempoh terdekat.
