SONGKHLA (THAILAND) – Pasangan rakyat Malaysia yang menggunakan khidmat sindiket tidak bertauliah untuk bernikah di Selatan Thailand berisiko terjerumus dalam perbuatan zina sekiranya akad nikah yang dilangsungkan tidak memenuhi syarat sah pernikahan menurut hukum Islam.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Yala, Abdul Basid Che Mat berkata, pasangan terbabit berkemungkinan diperdaya menggunakan sijil nikah palsu sehingga menyangka perkahwinan mereka sah, sedangkan akad berkenaan tidak dilaksanakan oleh kadi atau jurunikah yang mendapat tauliah.
Menurut beliau, pernikahan yang tidak memenuhi ketetapan hukum Islam boleh menyebabkan hubungan suami isteri selepas akad berkenaan dianggap tidak sah dan hukumnya haram.
“Jika mengadakan hubungan seks, perbuatan itu adalah zina,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mesyuarat bersama pegawai Konsulat Malaysia di sini semalam.
Mesyuarat hampir dua jam yang dipengerusikan Konsul Jeneral Malaysia, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi itu turut membincangkan pelbagai isu membabitkan rakyat Malaysia yang memilih untuk bernikah di Selatan Thailand.
Abdul Basid berkata, terdapat lima majlis agama Islam di wilayah berkenaan yang mempunyai kadi atau jurunikah bertauliah dan diberi kuasa melangsungkan pernikahan, termasuk membabitkan pasangan dari Malaysia.
Katanya, urusan pernikahan hanya boleh dilakukan di pejabat cawangan majlis agama Islam peringkat daerah atau pejabat pusat majlis agama Islam wilayah yang ditetapkan, bukannya di lokasi persendirian atau tempat lain yang tidak mendapat kebenaran.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Dr. Ahmad Kamil Wan Jusuh mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej pernikahan menerusi media sosial yang menjanjikan urusan mudah dan pantas.
Beliau berkata, terdapat beberapa syarat ketat yang perlu dipatuhi bagi memastikan pernikahan dilaksanakan secara sah, termasuk keperluan membuktikan pasangan memasuki Thailand melalui saluran serta menggunakan dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, lima majlis agama Islam di Selatan Thailand bersama Majlis Islam Pusat Thailand turut mempunyai persefahaman dengan pihak berkuasa agama di negeri-negeri Malaysia, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bagi menyelaraskan urusan dan isu berkaitan pernikahan.
Mengulas kegiatan sindiket, Ahmad Kamil berkata, pihaknya menyedari terdapat individu tertentu dari Thailand yang menawarkan perkhidmatan menikahkan pasangan rakyat Malaysia di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan lima majlis agama Islam di Selatan Thailand tidak akan menikahkan pasangan rakyat Malaysia yang memasuki negara itu secara haram.
Difahamkan, sindiket terbabit menawarkan pakej pernikahan dua hari satu malam menerusi platform media sosial termasuk Facebook pada harga antara RM2,000 hingga RM3,000 bagi setiap pasangan.
Pakej berkenaan merangkumi pengangkutan, penginapan dan makanan, dengan kos bergantung kepada jarak perjalanan dari tempat tinggal pasangan ke wilayah Selatan Thailand.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak status tauliah jurunikah serta kesahihan dokumen pernikahan dengan pihak berkuasa agama berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan bagi mengelakkan penipuan dan implikasi hukum serta undang-undang pada masa hadapan.
