TUMPAT – Lebih 1,000 penduduk di Kampung Kok Serai, Pengkalan Kubor, kini berdepan risiko keselamatan apabila tebing jalan tali air Kok Serai runtuh di kedua-dua belah laluan.
Keadaan itu membimbangkan kerana jalan sempit berkenaan menjadi laluan harian penduduk termasuk ibu bapa yang menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Neting, selain menghubungkan Kampung Tujoh, Pak Krai dan Belukar.
Penduduk mendakwa keruntuhan tebing semakin serius dipercayai akibat penggunaan kenderaan berat yang melalui laluan berkenaan.
Mat Daud Yusof, 59, berkata keadaan jalan yang sempit menyebabkan risiko kemalangan meningkat terutama apabila motosikal dan kereta perlu berselisih.
“Jalan ini sempit, tebing pula runtuh di kedua-dua belah. Setiap kali berselisih dengan kenderaan lain, jika tidak berhati-hati, tayar boleh tergelincir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Menurutnya, keadaan itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.
Marlina Shamsudin, 30, berkata risiko lebih tinggi pada waktu malam kerana kawasan tersebut gelap dan laluan hanya boleh dilalui secara selorong.
“Keruntuhan tebing semakin luas dan saya risau tayar kereta terjatuh ke dalam tebing, terutama ketika berselisih dengan kenderaan lain,” katanya.
Marlina berkata, masalah berkenaan sudah lama berlarutan dan berharap tindakan segera diambil sebelum keadaan menjadi lebih buruk atau mengakibatkan kemalangan.
Sementara itu, Penghulu Kampung Tujoh, Roshdi Ramli berkata, masalah keruntuhan tebing jalan tali air itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga pernah turun padang pada 25 September tahun lalu bagi meninjau keadaan tebing jalan berkenaan.
“Penduduk berharap tindakan segera dapat dilakukan kerana keadaan semakin membimbangkan dan dikhuatiri mengancam keselamatan pengguna jalan,” katanya.
