KUALA LUMPUR – Perkhidmatan rel dan bas terpilih kendalian Rapid KL akan beroperasi selama 24 jam pada 30 dan 31 Ogos ini bagi memudahkan pergerakan orang ramai sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, pelanjutan operasi itu membabitkan semua perkhidmatan rel kendaliannya termasuk Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur.
Menurutnya, kekerapan tren di beberapa laluan utama akan ditingkatkan mengikut permintaan serta keadaan semasa di stesen, manakala tren tambahan akan digerakkan sekiranya diperlukan bagi mengawal kesesakan di platform.
“Perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway serta beberapa laluan bas dan Rapid KL On-Demand (ROD) turut beroperasi 24 jam, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada orang ramai sepanjang tempoh sambutan,” katanya.
Bagi menyokong pergerakan orang ramai ke lokasi sambutan di Putrajaya, sebanyak 103 bas turut disediakan sebagai perkhidmatan bas perantara percuma menerusi dua laluan.
Laluan MS01 dari Stesen Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2, beroperasi dari jam 2 petang pada 30 Ogos hingga 2 petang pada 31 Ogos.
Laluan MS02 pula dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ke Jalan Tun Hussein, Presint 3, beroperasi dari jam 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos.
Rapid KL berkata, perkhidmatan percuma itu disediakan bagi memudahkan akses orang ramai ke kawasan sambutan, selain mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan kesesakan lalu lintas di sekitar Putrajaya.
Dalam pada itu, lebih 5,000 petugas barisan hadapan daripada pelbagai unit akan ditempatkan secara syif pada 30 dan 31 Ogos bagi memastikan operasi pengangkutan awam, pergerakan penumpang serta keselamatan di lokasi tumpuan berjalan lancar.
Rapid KL turut menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk ke lokasi sambutan, selain merancang perjalanan lebih awal, memastikan baki kad Touch ’n Go mencukupi dan mematuhi arahan petugas terutama di kawasan yang mempunyai kepadatan penumpang tinggi.
Maklumat lanjut mengenai operasi Rapid KL sepanjang sambutan Hari Kebangsaan 2026 boleh diperoleh menerusi platform media sosial Rapid KL dan laman sesawang rasminya.
