PETALING JAYA – Kecenderungan sebahagian generasi muda untuk terus memasuki alam pekerjaan selepas tamat sekolah tanpa menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dilihat semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian semua pihak.
Bekas Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, situasi itu boleh menjejaskan pembangunan modal insan negara apabila semakin ramai lepasan sekolah memilih untuk tidak meneruskan pendidikan, sekali gus mengehadkan peluang melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Beliau berkata, kebimbangan itu turut disokong oleh rekod seramai 7,099 calon tidak hadir bagi semua mata pelajaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, yang memberi gambaran wujudnya kelompok pelajar tercicir daripada sistem pendidikan.
Menurut beliau, jika trend tersebut berterusan, sasaran Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi serta mencapai 35 peratus tenaga kerja mahir berisiko sukar direalisasikan.
Bagi sesi akademik 2026, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima 351,012 permohonan kemasukan melalui UPUOnline daripada lepasan SPM. Daripada jumlah itu, 235,480 pemohon disahkan layak, manakala 169,803 calon atau 72.11 peratus berjaya memperoleh tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Mohd. Uzir turut menegaskan bahawa perubahan pola demografi seperti kadar kelahiran yang semakin rendah, usia perkahwinan dan kelahiran anak pertama yang semakin lewat juga memberi kesan terhadap pembangunan negara pada masa hadapan.
Beliau yang menamatkan perkhidmatan selepas lebih 36 tahun dalam bidang perangkaan berkata, pengalaman mengumumkan peningkatan jumlah pengangguran ketika pandemik COVID-19 menjadi antara detik paling mencabar sepanjang kerjayanya kerana setiap angka yang dilaporkan mewakili kehidupan sebenar rakyat.
Menurutnya, statistik yang tepat bukan sekadar himpunan data, sebaliknya menjadi asas penting kepada kerajaan untuk merangka dasar berkaitan pendidikan, pekerjaan, produktiviti dan kesejahteraan rakyat secara lebih berkesan.
Beliau berharap semua pihak, termasuk kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat, berganding bahu memastikan lebih ramai pelajar meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan mampu memacu pembangunan negara pada masa depan.
