IPOH – Kerajaan disaran terus memperkukuh pelaburan dalam kemudahan kebersihan dan sanitasi sebagai langkah utama melindungi kesihatan awam serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pelaburan dalam kemudahan asas itu tidak seharusnya ditangguhkan kerana mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa serta mengurangkan risiko penularan pelbagai penyakit.
Menurut baginda, kesihatan awam merupakan tanggungjawab bersama yang perlu disokong dengan amalan kebersihan yang diterapkan sejak usia muda bagi membentuk masyarakat lebih sihat dan berdaya tahan.
Baginda bertitah, ancaman seperti pandemik, pencemaran sumber air dan penyakit berjangkit boleh menjejaskan semua lapisan masyarakat, namun golongan miskin serta terpinggir sering menjadi kumpulan paling berisiko apabila perlindungan asas diabaikan.
Justeru, komitmen kerajaan terhadap aspek kesihatan awam mencerminkan penghargaan terhadap setiap nyawa rakyat tanpa mengira latar belakang atau kedudukan sosial.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) Ke-8 bertemakan Setiap Insan Dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan dalam Islam di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh.
Sultan Nazrin turut menegaskan pengalaman pandemik COVID-19 membuktikan kecekapan kerajaan dalam menyelaras tindakan, menyampaikan maklumat secara telus dan menggerakkan sumber dengan pantas merupakan elemen penting dalam tadbir urus yang berkesan.
Sehubungan itu, baginda menyeru agar pelaburan dalam sistem kesihatan awam terus dipertingkatkan supaya semua rakyat mendapat akses yang saksama kepada kemudahan kebersihan, sanitasi dan perkhidmatan kesihatan berkualiti di seluruh negara.
